arena

Jangan buat kecoh cari pasal

Oleh Muhammad Apendy Issahak

MENJELANG perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak bertemu Johor Darul Ta'zim (Johor DT) di Stadium Perak, Ipoh, Ahad ini seramai 1,000 anggota keselamatan akan ditempatkan bagi kawalan sepanjang perlawanan.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama wakil pengurusan Stadium Perak dan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) serta beberapa pihak lain pada hari ini bagi membincangkan aspek keselamatan perlawan separuh akhir berkenaan.

"Maklumat yang kami peroleh akan ada penyokong daripada pasukan Johor DT yang akan hadir menyaksikan perlawanan itu, namun jumlah sebenar belum dapat dipastikan.

"Polis akan bermesyuarat dengan wakil pihak yang berkenaan hari ini untuk membincangkan faktor keselamatan sebelum, semasa dan selepas tamat perlawanan membabitkan pemain, pegawai dan penyokong tuan rumah serta pelawat," katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Balai Polis Pasir Puteh, Ipoh, hari ini.

Menurutnya, seramai kira-kira 1,000 anggota keselamatan akan ditugaskan mengawal keselamatan pada hari perlawanan itu termasuk mengiringi bas pasukan pelawat selain penyokong Johor DT.

Katanya, langkah itu diambil bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berulang seperti yang berlaku sebelum ini membabitkan kedua-dua pasukan bola sepak berkenaan.

"Harap semua pihak terutama penyokong kedua-dua pasukan dapat menyaksikan perlawan itu dengan semangat kesukanan tanpa melakukan sebarang provokasi yang boleh mencetuskan kekecohan.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak atau individu yang menimbulkan atau cuba menimbulkan kekecohan sepanjang perlawanan itu berlangsung selain sebelum dan selepas permainan tamat," katanya.

Sementara itu, tiket bagi perlawanan antara Perak dengan Johor DT akan mula dijual Khamis ini pada jam 9 pagi hingga 5 petang di Stadium Perak dan beberapa daerah lain dengan pembelian dihadkan kepada seorang lima tiket sahaja.

Dalam aksi separuh akhir pertama Ahad ini pasukan Perak akan menentang Johor DT di Stadium Perak, Ipoh, manakala satu lagi perlawanan adalah antara FELDA United bertemu Kedah di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.

Kedua-dua perlawanan akan berlangsung jam 9 malam.

Disiarkan pada: October 10, 2017 @ 1:40pm
d