arena

Jackie enggan terlepas

Oleh Aida Adilah Mat

PEMENANG pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) acara baling tukul besi Jackie Wong mahu terus konsisten dalam balingannya agar terpilih beraksi di temasya Sukan Asia Palembang-Indonesia dan Sukan Komanwel Gold Coast, tahun depan.

Selepas Kl2017 berakhir, Kejohanan Olahraga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula hari ini hingga 13 Ogos di Lumut, akan menjadi kejohanan pertama buat pemegang rekod kebangsaan itu menilai tahap prestasi.

Bagaimanapun Jackie yang berasal dari Sarawak, tidak mahu meletakkan sebarang sasaran sebaliknya hanya menyasarkan untuk melakukan balingan sekitar 60 meter.

Justeru tanpa penyertaan atlet dari luar negara, Jackie dilihat tidak berdepan masalah untuk merangkul emas dan tidak akan mengambil mudah setiap pesaingnya.

“Sasaran saya adalah melakukan balingan terbaik di setiap kejohanan disertai kerana saya mahu melayakkan diri beraksi di Sukan Asia dan Komanwel.

“Dua kejohanan itu adalah penting bagi supaya boleh mengembangkan lagi karier saya dalam sukan olahraga,” katanya.

Pada KL2017, aksi Jackie melakar rekod temasya untuk meraih emas selepas melakukan balingan sejauh 65.90 meter.

Atlet berusia 25 tahun itu menewaskan pencabar Thailand, Kittipong Boonmawan (65.90m) dan Arniel Ferrer dari Filipina 55.94m masing-masing untuk perak dan gangsa.

Bagaimanapun andai terpilih beraksi ke Sukan Asia dan Komanwel peluang Jackie meraih pingat tampak sukar kerana dia perlu sekurang-kurangnya melepasi jarak 70m.

Berdasarkan statistik tiga tahun lalu pingat gangsa di Sukan Asia diraih atlet China Wang Yong dengan balingan 73.43m manakala pemenang pingat gangsa di Sukan Komanwel milik Mark Dry dari Scotland 71.74m.

Disiarkan pada: October 10, 2017 @ 4:00pm
d