arena

Ghairah buru kejayaan

Oleh Mohd Khairie Khalid

KEPUTUSAN untuk terus berbakti kepada negara dan tidak mengundur diri dalam masa terdekat mematangkan penerjun berpengalaman Leong Mun Yee.

Malah Mun Yee kelihatan kembali ghairah memburu lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa selepas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) melabuhkan tirai secara gilang gemilang Ogos lalu.

Begitupun penerjun dari Ipoh itu sedar dia perlu terus tampil dengan aksi konsisten jika mahu terus bergiat aktif dalam sukan ini, meskipun usianya kini sudah mencecah 32 tahun.

“KL2017 bukan Sukan SEA terakhir buat saya, walaupun sebelum ini saya pernah berkata akan membuat keputusan sama ada untuk terus aktif dalam sukan ini atau tidak.

“Sekarang fikiran saya berubah, saya pun tidak pasti berapa banyak lagi Sukan SEA yang akan disertai. Tapi saya perlu memperbaiki teknik terjunan kerana dalam kejohanan perlu ada lima terjunan, jadi kena sentiasa konsisten,” kata Mun Yee.

Menyentuh mengenai masa depan Malaysia dalam sukan itu, Mun Yee berharap lebih ramai pelapis dapat meningkat selain terjun terus berkembang dan dikenali di seluruh dunia dan negara amnya.

Dalam perkembangan sama, Mun Yee menjelaskan ketika ini sudah memulakan latihan kecergasan dan terjunan sebagai persiapan menjelang Kejohanan Terjun Grand Prix FINA 2017 di Pusat Akuatik Nasional dari 26 hingga 29 Oktober ini.

Disiarkan pada: October 10, 2017 @ 6:34pm
d