arena

Ciclista sedia jadi pengurus LTdL 2018

Oleh Haika Khazi

CICLISTA Sports Sdn Bhd (Ciclista) bersedia menjadi pengurus acara perlumbaan berbasikal jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 jika diberi kepercayaan oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Pengarah Urusannya, Shahirudeen Seeni Mohamad berkata, pihaknya sedia menjadi pengurus acara LTdL 2018 jika kontrak Ciclista disambung semula.

“Jika diberikan kepercayaan untuk terus menjadi pengurus acara LTdL 2018 oleh PKBM dan KBS... Insya-Allah kami sedia teruskan tugas itu. Bagaimanapun, kami tidak mahu mendahului KBS dan PKBM serta masih menunggu pengumuman rasmi mereka.

“Sebenarnya kontrak kami sebagai pengurus acara LTdL sudah tamat. Oleh itu jika PKBM dan KBS tidak menyambung kontrak itu kami tidak boleh buat apa-apa dan saya ucap tahniah serta selamat maju jaya kepada syarikat baharu dilantik,” katanya ketika ditanya sama ada Ciclista sedia meneruskan tugas selaku penganjur LTdL sekiranya diminta.

Shahirudeen berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis prapelancaran perlumbaan berbasikal Pulau Indah 180 Malaysia 2018 anjuran bersama syarikat pemaju hartanah Central Spectrum (M) Sdn Bhd (CSSB) yang berlangsung di Pulau Indah, Klang pada 14 Januari depan. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif CSSB, Mahmud Abbas dan Naib Presiden Yunus Ibrahim.

Sebelum ini media melaporkan pengurus acara LTdL 2018 masih belum diumumkan KBS dan PKBM selepas kontrak dua tahun Ciclista berakhir Mac lalu.

Terdahulu, Shahirudeen mengesahkan Ciclista akan menyelesaikan masalah bayaran hadiah kemenangan kepada pemenang LTdL 2017 selewat-lewatnya awal minggu depan.

Sebelum ini, Shahirudeen menegaskan syarikat itu sudah menjelaskan bayaran hadiah kemenangan berjumlah kira-kira RM400,000 kepada pasukan tempatan yang menang pada LTdL 2017.

Disiarkan pada: October 10, 2017 @ 8:00pm
d