arena

1,000 pelumba warnai Pulau Indah 180 Malaysia 2018

Oleh Haika Khazi

LEBIH 1,000 pelumba tempatan dan luar negara dijangka menyertai acara perlumbaan basikal jarak jauh Pulau Indah 180 Malaysia 2018 anjuran Central Spectrum (M) Sdn Bhd (CSSB) Januari depan.

Seperti biasa perlumbaan itu menampilkan lima kategori iaitu terbuka lelaki (18 hingga 35 tahun); terbuka wanita (18 tahun ke atas); junior master (35 hingga 45 tahun); master (45 tahun ke atas) dan berpasukan (10 pelumba).

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif CSSB, Mahmud Abbas berkata, perlumbaan edisi ketiga itu menampilkan kelainan tersendiri apabila menetapkan penyertaan bagi kategori berpasukan dan diwajibkan mendaftarkan sekurang-kurangnya seorang pelumba basikal wanita.

“Pemenang kategori berpasukan hanya akan dikira sekiranya peserta wanita berjaya sampai ke garisan penamat bersama kelompok pelumba lain.

“Oleh itu, semua ahli pasukan lain perlu memainkan peranan untuk memberikan galakan dan menghulurkan bantuan bagi memastikan peserta wanita sampai ke garisan penamat bersama mereka,” katanya ketika sidang media sempena prapelancaran perlumbaan itu di sini, hari ini.

Mereka yang berminat dan ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh mengunjungi laman web www.pulauindah180.com atau menelefon ke talian bebas tol 1-800-222-909 atau 03-31012020.

Dalam pada itu, Mahmud berkata, penyelarasan perlumbaan itu juga memenuhi standard ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) seperti Le Tour de Langkawi (LTdL) dan Tour de France bagi peserta dapat merasai pengalaman berlumba di pertandingan bertaraf dunia.

“Selain itu, kami juga mengekalkan jumlah hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM40,000 sebagai daya tarikan perlumbaan tahunan sejauh 180 kilometer ini,” katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2017 @ 8:19pm
d