arena

Harimau Malaya kecundang

SKUAD Harimau Malaya menempah laluan berliku untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019 apabila tumbang 0-2 kepada Hong Kong dalam aksi ketiga Kumpulan B Kelayakan Piala Asia berlangsung di Stadium Hong Kong, hari ini.

Ia adalah kekalahan kedua selepas tewas kepada Lubnan (2-1) selain seri (1-1) dengan Hong Kong dengan kedua-duanya diadakan di Malaysia sekali gus kekal di tangga tercorot dengan hanya mengutip satu mata.

Bagaimanapun, keputusan itu belum memadamkan peluang skuad kendalian Nelo Vingada untuk merebut dua tempat terbaik dengan syarat pasukan negara perlu memenangi tiga baki aksi selepas ini iaitu berdepan Lubnan dan Korea Utara.

Apa pun, barisan pemain negara tidak harus dipersalahkan atas kekalahan ini memandangkan Vingada terpaksa menggunakan formasi 4-6-0 susulan kecederaan menimpa penyerang tunggal, Darren Lok serta Ahmad Hazwan Bakri dan Muhammad Shahrel Fikri yang tidak di bawa atas masalah sama.

Ternyata, taktikal bermain penyerang itu dilihat membuahkan hasil khususnya dalam tempoh 30 minit pertama apabila berjaya menyerap asakan bertubi-tubi tuan rumah yang diperkuatkan dengan tiga tonggak naturalisasi baru.

Hong Kong hanya berjaya melakukan percubaan tepat m-31 menerusi rembatan jarak jauh Daniel Rodriguez selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan tengah negara, Khairul Helmi Johari namun percubaanya sekadar terkena tiang.

Malaysia terpaksa membayar harga mahal m-39 apabila terjahan keras ketua pasukan negara, Safiq Rahim terhadap Daniel Rodriguez akhirnya memakan diri sendiri apabila dia dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Sri Lanka, Nivon Robesh Gamini.

Kekurangan pemain digunakan sebaiknya anak buah Kim Pan-Gon apabila berjaya mendahului menerusi tandukan Jorge Tarres Paramo m-44 tanpa dicabar pertahanan.

Kelekaan dua pertahanan Malaysia pada separuh masa kedua menyaksikan Shahrom Kalam dan Khairul Helmi sekali lagi dihukum apabila Jaimes Mckee mudah menanduk masuk m-49 untuk meletakkan tuan rumah ceria mendahului dua gol.

Skuad kebangsaan cuba bangkit memburu gol sepanjang separuh masa kedua namun benteng Hong Kong kebal bertahan hingga wisel penamat.

Disiarkan pada: October 10, 2017 @ 10:05pm
d