arena

Jurulatih liwat budak bawah umur

Oleh Ajitpal Singh dan Fadhli Ishak

SEORANG jurulatih sukarelawan skuad tenis kerusi roda negara di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur (Para KL 2017) dipenjarakan atas pertuduhan liwat terhadap budak bola bawah umur, bulan lalu.

Jurulatih berkenaan yang memegang jawatan itu secara sukarela sejak tujuh tahun lalu ditahan polis di Pusat Tenis Nasional di Jalan Duta pada 21 September lalu yang juga hari terakhir acara tenis kerusi roda dipertandingkan di Para KL2017.

Presiden Persatuan Tenis Kerusi Roda Malaysia (WTM) Lenny Ghandi berkata, badan induk itu berasa amat kecewa apabila mengetahui mengenai kejadian itu.

“Kami terkejut, sedih dan marah apabila mendapat tahu mengenai perkara ini,” kata Lenny ketika dihubungi hari ini.

“Insiden itu tidak membabitkan seorang pun atlet kebangsaan dan ia berlaku di kediaman jurulatih itu, bukan di venue kejohanan atau di hotel rasmi atlet (Para KL2017).

“Beliau adalah sukarelawan dan juga bukan jurulatih yang dibayar gaji oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan peranan utamanya bersama skuad kebangsaan adalah untuk melatih dan mencari pemain berbakat.

“Dalam sukan para, kami bergelut untuk mencari penaja untuk bertahun-tahun lamanya dan memerlukan bantuan daripada sukarelawan. Jurulatih itu sudah menjalankan tugasnya selama beberapa tahun dan memberikan bantuan besar kepada pasukan.

“Beliau tidak pernah mengambil kesempatan terhadap kami ketika tempohnya bersama pasukan kebangsaan.

“Kami tahu beliau mempunyai akademi tenis yang kecil untuk melatih pemain kurang upaya dan budak bola di Segambut namun langsung tidak tahu mengenai kehidupan peribadinya.

“Untuk mengetahui apa yang beliau lakukan amat mengecewakan.”

Lenny menjelaskan insiden itu mencalarkan imej negara ketika ia menjadi detik yang bersejarah buat kontinjen negara di Sukan Para ASEAN.

“Kami menang dua pingat emas pada hari beliau ditahan. Ia kali pertama Malaysia memenangi pingat emas dalam acara tenis sama ada di Sukan Para ASEAN atau Sukan Para Asia.”

Malaysia memenangi dua pingat emas menerusi Abu Samah Borhan (perseorangan lelaki) dan Azman Hasan (perseorangan quad) di Para KL2017. Secara keseluruhan, skuad negara memenangi dua emas, satu perak dan tiga gangsa untuk muncul selaku juara keseluruhan dalam acara tenis kerusi roda di KL Para2017.

Disiarkan pada: October 10, 2017 @ 10:25pm
d