arena

Greece sah tempat ke playoff

Oleh Reuters

ATHENS: Greece membelasah Gibraltar 4-0 awal pagi tadi untuk meraih tangga kedua kumpulan kelayakan Piala Dunia dan tempat ke saingan playoff Eropah, bulan depan.

Greece perlu menunggu lebih daripada setengah jam untuk memecah kubu kental lawan mereka dan akhirnya berada di depan apabila kapten, Vasilis Torosidis menjaringkan gol menerusi tandukan hasil hantaran lintang Zeca pada minit ke-32.

Penyerang Kostas Mitroglou menjaringkan dua gol dalam tempoh dua minit selepas sejam permainan dan pemain gantian, Giannis Gianniotas menjaringkan gol keempat pada minit ke-78.

Greece menamatkan saingan di belakang Belgium dengan 19 mata daripada 10 perlawanan Kumpulan H.

Mereka layak ke saingan playoff sebagai lapan pasukan terbaik di kedudukan naib juara sembilan kumpulan Eropah.

Slovakia, yang berkedudukan kedua Kumpulan F, adalah naib juara tunggal yang terlepas aksi playoff.

“Sasaran saya sejak mengambil alih tugasan membimbing pasukan ialah layak ke Piala Dunia dan saya saya rasa kami boleh melepasi playoff,” kata jurulatih Greece dari Jerman, Michael Skibbe.

“Saya tidak tahu mengenai pasukan yang akan kami temui nanti.”

Ia kempen yang kurang menyerlah buat Greece, yang menang tiga perlawanan awal dan dua terakhir selepas empat kali seri – termasuk seri tanpa jaringan di laman sendiri kepada Estonia – dan kalah kepada Belgium.

Lapan daripada 17 gol mereka dijaringkan dalam dua pertemuan menentang Gibraltar.

Disiarkan pada: October 11, 2017 @ 9:45am
d