arena

Perancis elak tekanan playoff

Oleh Reuters

PARIS: Perancis mara ke Piala Dunia 2018 hasil jaringan Antoine Griezmann dan Olivier Giroud dalam pertarungan sukar ketika menang 2-1 ke atas Belarus, dalam aksi kelayakan awal pagi tadi.

Skuad kendalian Didier Deschamps itu melengkapkan cabaran penuh muslihat dengan menewaskan Bulgaria dan Belarus dalam dua perlawanan kelayakan terakhir.

Kemenangan di Stade de France itu bermakna mereka berjaya mengelak tekanan beraksi di pusingan playoff - situasi sama yang mereka tempuh untuk mara ke dua pusingan akhir, sebelum ini.

Walaupun Perancis menamatkan kedudukan di tangga teratas Kumpulan A, pasukan kendalian Deschamps tampak kurang meyakinkan ketika skuad yang sudah tersingkir, Belarus kerap memecah benteng mereka.

“Kami gembira jika memikirkan kualiti pemain yang saya ada,” kata Deschamps yang turut memuji sokongan penonton.

“Kini kami memiliki kemeriahan yang sudah agak lama kami tidak rasakan...penonton datang, mereka menyokong penuh pasukan,” katanya.

Giroud berkata, dia gembira apabila Perancis dapat mengelak saingan playoff.

“Kami mengejar perlawanan ini dan ia bukanlah mudah kerana mereka kuat dan berkesan ketika menyerang sehingga wisel penamat dan kami perlu meningkat permainan,” kata penyerang Arsenal itu.

“Kami semua lega malam ini untuk menamatkan kempen dengan kelayakan automatik.”

Disiarkan pada: October 11, 2017 @ 11:00am
d