arena

Zii Jia tekad menyerlah di Terbuka Bitburger

Oleh Ferzalfie Fauzi

SATU trofi, mara ke separuh akhir dan suku akhir dalam tiga kejohanan di benua Eropah baru-baru ini menjadi pembakar semangat buat pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menjelang Terbuka Bitburger hujung bulan ini.

Menurut pemain kelahiran Kedah itu, ia pencapaian yang memberangsangkan buatnya selepas berjaya merangkul kejuaraan pertama peringkat senior pada Siri Antarabangsa Poland bulan lalu.

“Sejak menyertai skuad senior tahun ini saya berpuas hati dengan pencapaian saya termasuk di beberapa kejohanan di Eropah sebelum ini, mampu muncul juara, layak ke separuh akhir dan suku akhir. Saya berjanji akan berusaha lebih baik lagi untuk mendapat keputusan cemerlang,” katanya ketika ditemui hari ini.

Tugas seterusnya buat pemenang pingat gangsa Kejohanan Remaja Dunia Bilbao, Sepanyol 2016 itu adalah Terbuka Bitburger yang bertaraf Grand Prix Emas.

“Jangkaan saya di Bitburger nanti tetap sama, saya mahu kekal merendah diri, tidak ada sebarang sasaran yang lebih tinggi dan mahu beraksi tanpa sebarang tekanan.

“Bagaimanapun, saya tetap akan memberikan aksi 100 peratus di setiap perlawanan dan tidak mahu berasa megah selepas berjaya merangkul kejuaraan sulung di peringkat senior,” kata pemain berusia 19 tahun itu.

Zii Jia yang kini menduduki ranking ke-55 dunia, mengakui menjelang hujung tahun ini dia perlu belajar bagaimana untuk memperkuatkan mental yang dianggapnya amat penting terutama ketika turun ke gelanggang.

“Apabila anda sudah menang banyak kejohanan jangkaan tentu akan diharapkan kepada anda dan ketika itu tekanan mula dirasai.

“Ada kalanya anda tidak dapat mengawal tekanan dan ia akan memdatangkan masalah. Secara tidak langsung prestasi anda juga akan turut terganggu,” ujar Zii Jia.

Menurutnya, antara perkara yang ditakuti selepas berada di ranking lebih tinggi selepas ini adalah tidak mampu beraksi cemerlang dalam kejohanan kecil.

Disiarkan pada: October 11, 2017 @ 6:05pm
d