arena

Hend tak peduli gelaran No. 1 Asia

Oleh Saiful Affendy Sapran & Farah Azharie

SCOTT Hend enggan terlalu memikirkan persaingannya dengan pemain golf negara Gavin Kyle Green untuk perebutan kejuaraan Order of Merit Jelajah Asia tahun ini.

Gavin sedang berusaha untuk mencipta sejarah selaku pemain pertama Malaysia memenanginya apabila ketika ini mendahului kedudukan Order of Merit dengan mengumpul hadiah kemenangan AS$527,346 (RM2.2 juta).

Manakala Hend adalah pemenang tahun lalu dan kini menduduki tangga kedua dengan hadiah kemenangan sebanyak AS$416,929 (RM1.7 juta).

“Bagi saya ia tidaklah terlalu penting sebab saya sudah memenanginya sebelum ini.

“Saya juga mencipta sejarah selaku pemain Australia pertama melakukannya,” kata Hend.

Jelas pemain golf dari Australia itu, Gavin pastinya lebih berdepan tekanan berbanding dirinya untuk perebutan kejuaraan itu.

“Saya mempunyai jadual yang terhad di Asia, jadi saya perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada.

“Bagi Gavin, dia boleh bermain di mana saja kejohanan yang diinginkannya tapi pada masa sama, dia perlu beraksi pada tahap terbaik kerana pemain lain juga masih berpeluang untuk memintasnya,” katanya.

Kedua-duanya akan beraksi pada kejohanan golf CIMB Classic di TPC Kuala Lumpur bermula esok.

Disiarkan pada: October 11, 2017 @ 8:17pm
d