arena

Vingada perlu lebih masa

Oleh Aziman Rosdi

KEGAGALAN meraih sebarang kemenangan dalam lima perlawanan tidak menjejaskan kedudukan jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada apabila terus mendapat sokongan pihak pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Perkara itu dinyatakan oleh Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang bersedia memberikan pengendali dari Portugal berkenaan lebih banyak masa untuk membentuk skuad kebangsaan yang lebih mantap.

“Jika saya mahu menukar Nelo (Vingada) esok, bagi saya itu tidak adil. Bagi saya ia cara yang tidak betul untuk melakukannya selepas lima perlawanan. Saya perlu memberikannya lebih banyak masa dan saya juga perlu beri apa yang beliau perlukan,” katanya.

Tunku Ismail berkata demikian ketika menjawab soalan ahli panel dalam sesi soal jawab di JDT Cafe, semalam.

Kedudukan Vingada yang mengambil alih tugas Datuk Ong Kim Swee, Mac lalu mula dipersoalkan selepas anak buahnya tewas empat daripada lima perlawanan terakhir.

Terbaru skuad kendaliannya tewas 0-2 di tangan Hong Kong dalam saingan Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019, kelmarin sekali gus menyukarkan Malaysia untuk layak ke pusingan akhir.

Susulan deretan kekalahan itu, bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh menggesa jurulatih yang digelar The Professor itu meletakkan jawatan kerana gagal memberikan sebarang impak bersama Harimau Malaya.

Menurut Tunku Ismail, beliau hanya bersedia menilai kedudukan Vingada jika prestasi pasukan masih di takuk lama, selepas segala perubahan sudah dilakukan termasuk dalam pemilihan pemain.

“Beliau ada pengalaman luas tapi beliau perlukan masa di sini. Jika satu hari nanti kita ada kedudukan kewangan lebih baik, kita akan lantik orang lebih baik, tapi sekarang, ini saja kemampuan kita,” katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2017 @ 6:29pm
d