arena

Tembok Besar roboh teruk

Oleh Jugjet Singh

SKUAD hoki lelaki negara kendalian Stephen van Huizen berjaya merobek Tembok Besar China buat kali ketiga tahun ini dan kini selangkah saja lagi layak ke peringkat round robin Piala Asia di Dhaka, Bangladesh.

Kemenangan 7-1 hari ini adalah yang terbesar, sekali gus mempamerkan peningkatan permainan dan kini mereka perlu menewaskan Korea Selatan Sabtu ini bagi memastikan pusingan seterusnya sekalipun masih ada baki satu perlawanan menentang Oman.

Pada Pusingan Kedua Liga Dunia di Dhaka, Malaysia diikat 2-2 sebelum menewaskan China 5-3 menerusi pukulan penalti untuk meraih pingat emas.

Pada Separuh Akhir Liga Dunia di London pula, Malaysia membenam China 5-1 dalam laluan layak ke Piala Dunia 2018.

“Ya, kali ketiga berturut-turut dengan perlawanan ini adalah yang paling memuaskan hati. Kami boleh menjaringkan lebih lagi (terlepas sekurang-kurangnya lima percubaan) tapi akhirnya kejayaan ini tetap manis,” kata Van Huizen.

Malah beliau berkesempatan menggunakan semua pemainnya termasuk penjaga gol kedua, Hafizuddin Othman pada suku ketiga.

“Selepas mendahului selesa, saya menurunkan pemain lain kerana mereka juga perlu merasa suasana perlawanan.

“Ia penting untuk mengekalkan mereka (pemain gantian) dalam permainan kerana mereka diperlukan kemudian. Jika kami layak ke final, kami perlu bermain tujuh perlawanan dan semua pemain perlu bersedia,” ujar Van Huizen.

Disiarkan pada: October 12, 2017 @ 9:23pm
d