arena

Gunners dipalit Sanchez, Ozil berdepan Watford

Oleh AFP

LONDON: Persiapan Arsenal menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika berkunjung ke Watford, tengah malam esok terus dibayangi dengan persoalan mengenai masa depan bintang mereka, Alexis Sanchez dan Mesut Ozil.

Buat kali pertamanya, pengendali Arsenal, Arsene Wenger mengakui beliau boleh menjual dua pemain itu pada jendela perpindahan Januari ini.

“Tidak buat masa sekarang. Sebaik saja kamu berada di situasi seperti ini, kami sudah pun membayangkan jalan penyelesaian,” katanya yang kekal yakin Sanchez dan Ozil akan kekal bersama kelab.

Apabila ditanya adakah itu bermaksud kedua-dua pemain itu akan meninggalkan kelab pada Januari ini, katanya; “Ya, ada kemungkinan. Saya sentiasa katakan, hakikatnya sekarang ialah kami gagal mencapai sebarang perjanjian, namun ia tidak bermakna pemain akan keluar daripada kelab ini.

“Kedua-dua pemain ini kelihatan gembira berada di sini dan secara keseluruhannya, saya harap situasi ini akan berubah. Buat masa ini, kami semakin hampir untuk mengumumkannya.”

Bagaimanapun, Sanchez seakan bakal terlepas aksi dengan Watford.

“Saya kena bercakap dengannya,” kata Wenger yang kini mengetuai Arsenal berada di tempat kelima liga.

“Saya mesti katakan yang dia akan menerima rawatan istimewa dan saya akan menilai keadaan fizikal dan mentalnya,” katanya merujuk kegagalan Sanchez menjulang Chile layak ke Piala Dunia tahun depan.

Pada masa sama, Wenger juga bermasalah di bahagian pertahanan selepas Shkodran Mustafi terpaksa disisihkan enam minggu kerana kecederaan hamstring ketika bersama skuad Jerman.

Disiarkan pada: October 13, 2017 @ 4:28pm
d