arena

Fadhil, Khairil tambah emas

Oleh Fadhli Ishak

DUA pelumba basikal negara, Mohd Fadhil Zonis dan Khairil Nizam Rasol mencipta sensasi pada hari terakhir apabila menambah dua lagi koleksi pingat emas pada saingan Piala Asia di New Delhi, India hari ini.

Fadhil yang merangkul pingat emas acara 1 kilometer ujian masa individu kelmarin, memenangi final keirin lelaki untuk menewaskan pelumba tuan rumah, Ranjit Singh yang sekadar berpuas hati dengan perak.

Khairil pula melengkapkan hari ceria kem negara dengan meraih emas dalam acara pecut yang berlangsung di Veledrom Indira Gandhi.

Jurulatih negara, Junaidi Nasir mengakui gembira dengan persembahan anak buahnya itu.

“Kami mahu mengumpul mata ranking sebanyak mungkin di sini kerana kami cuba untuk layak ke siri Piala Dunia UCI yang akan bermula bulan depan,” kata Junaidi.

“Khairil dan Fadhil kedua-duanya melakukan apa yang mereka harapkan. Ia menjadi perancangan yang baik untuk kami di sini,” katanya.

Kedua-dua pelumba itu berada di bawah program Yayasan Sime Darby dan dihantar bertanding di Delhi.

Malaysia menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan menggondol tiga emas, satu perak dan satu gangsa.

Saingan Piala Dunia pula akan bermula dari 3 hingga 5 November di Pruszkow, Poland.

Disiarkan pada: October 13, 2017 @ 6:17pm
d