arena

Gavin bangkit curi tumpuan

Oleh Saiful Affendy Sapran dan Farah Azharie

DI sebalik hujan yang menyaksikan saingan terpaksa dihentikan empat jam sebelum bersambung semula, Gavin Kyle Green bangkit daripada aksi hambar pada hari pertama apabila muncul pemain terbaik Malaysia pada pusingan kedua Kejohanan Golf CIMB Classic, hari ini.

Berlangsung di TPC Kuala Lumpur, pemain berusia 23 tahun itu melakukan catatan par 71 untuk keseluruhan satu bawah par 144 selepas dua hari saingan.

Catatan yang dilakukannya itu menyaksikan Gavin berkongsi kedudukan ke-55 bersama lima pemain lain. Dia melakukan birdie pada lubang ke-5, 8, 13 dan 18 tetapi tiga bogey yang dilakukannya pada lubang ke-12, 16 dan 17 sedikit mencacatkan aksinya.

“Saya bermain agak baik hari ini tetapi gagal untuk melakukan beberapa pukulan putt dengan baik.”

“Sememangnya ia agak mengecewakan apabila ada pukulan putt yang tidak masuk ke lubang. Saya sudah cuba memberikan tumpuan sepenuhnya dan membaca daripada pelbagai sudut, tetapi gagal juga untuk memasukkan bola,” katanya.

Menurut pendahulu Order of Merit Jelajah Asia itu, hujan bukan menjadi faktor utama kegagalannya untuk beraksi dengan lebih baik.

“Saya hanya hilang sedikit keyakinan. Harap saya dapat bangkit semula selepas ini,” katanya.

Mengulas strategi di pusingan ketiga esok, Gavin mengakui dia perlu memperbaiki kelemahan dalam melakukan pukulan putt. Saya perlu melihat kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum turun pada pusingan ketiga esok sebab saya tidak pasti adakah ia berlaku kerana kesilapan saya membaca sudut untuk memasukkan bola,” katanya.

Sementara itu, Danny Chia yang muncul pemain terbaik negara semalam menamatkan pusingan kedua dengan mencatat tiga atas par 75 untuk keseluruhan satu atas par 145.

Keputusan itu menyaksikannya berkongsi kedudukan ke-61, antaranya bersama seorang lagi pemain negara Nicholas Fung.

Nicholas melakukan satu atas par 73 untuk keseluruhan satu atas par 145.

Disiarkan pada: October 13, 2017 @ 8:23pm
d