arena

Selangor bawa bekal selesa ke Terengganu

Oleh Zulfaizan Mansor

SELANGOR semakin hampir menamatkan penantian sembilan tahun untuk meraih kejuaraan Piala Presiden selepas menundukkan Terengganu 2-0 pada aksi final pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.

Kali terakhir skuad The Red Giants menjulang trofi itu pada tahun 2008 selepas menewaskan Perak 1-0 di pentas akhir.Anak didik Omar Ali bagaimanapun tidak boleh terlalu selesa kerana mereka sekali lagi akan mengharungi final kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, 20 Oktober ini.

Pada aksi sebentar tadi, tuan rumah berada di depan hanya selepas 15 minit perlawanan berlangsung hasil jaringan Badrul Amin Rusalan.

Selangor yang dilihat lebih banyak melakukan gerakan berbahaya hampir menambah jaringan pada minit ke-25, namun sepakan percuma Mohd Faizzudin Abidin sekadar singgah di palang gol.

Tiga minit selepas itu, Muhd Syahmi Safari menceriakan penyokong tuan rumah apabila bijak membuat larian solo sebelum menewaskan penjaga gol Terengganu, Mohd Shafawi Mohamad buat kali kedua.Terengganu cuba bangkit dengan beberapa percubaan sebaik bersambung babak kedua terutama rembatan jarak jauh Mohd Rahmat Makasuf pada minit ke-49 yang berjaya diselamatkan penjaga gol, Muhammad Haziq Ridwan.

Biarpun kedua-dua pasukan mempamerkan permainan rancak hingga hujung perlawanan, namun mereka gagal mencipta jaringan yang menyaksikan keputusan 2-0 kekal hingga wisel penamat.

Disiarkan pada: October 13, 2017 @ 11:35pm
d