arena

Mourinho terkejut Martinez guna Fellaini

Oleh AFP

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mengakui terkejut apabila Marouane Fellaini diturunkan oleh pengurus Belgium, Roberto Martinez pada aksi kelayakan Piala Dunia baru-baru ini.

Sebelum cuti rehat antarabangsa, Mourinho berkata dia menjangkakan Fellaini akan direhatkan oleh Martinez namun tindakan bekas pengurus Everton itu mengakibatkan pemain tinggi lampai itu berdepan kecederaan.

Belgium sudah pun mengesahkan tempat ke Piala Dunia tahun depan di Russia dengan pemain tengah itu sudah pun mengalami kecederaan otot yang kecil ketika aksi Liga Juara-Juara menentang CSKA Moscow.

Begitupun, Martinez tetap memilih Fellaini untuk aksi menentang Bosnia-Herzegovina mengakibatkan pemain itu mengalami kecederaan ligamen lutut dan mungkin terpaksa disisih selama beberapa minggu.

Dijadual menentang Liverpool di Anfield malam ini, Mourinho begitupun menolak dakwaan yang dia memiliki masalah dengan Martinez.

“Adakah saya mengatakannya? Saya tidak fikir ia seperti itu kerana saya tidak boleh kawal apa yang mereka lakukan dalam pasukan kebangsaan,” kata Mourinho.

“Saya terkejut tetapi tidak marah. Saya tahu saya tidak boleh kawal apa yang berlaku dalam pasukan kebangsaan, jadi saya tidak boleh marah.”

Belgium menewaskan Bosnia-Herzegovina 4-3 dalam perlawanan berkenaan sebelum menutup kempen kelayakan dengan membelasah Cyprus 4-0.

Disiarkan pada: October 14, 2017 @ 12:18pm
d