arena

Manfaat Piala Asia untuk Piala Dunia

Oleh Mohd Fitrie Muhamad

PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal tidak mahu meletakkan sebarang tekanan kepada skuad hoki negara dalam saingan Piala Asia di Bangladesh kali ini.

Sebaliknya Subahan menegaskan penampilan pada Piala Asia akan menjadi medan terbaik persiapan pasukan bagi menghadapi Sukan Asia tahun depan.

Lebih penting, skuad kendalian Stephen Van Huizen perlu menggunakan peluang ini untuk memperbaiki permainan sebelum menghadapi Piala Dunia di India, juga dijadualkan tahun depan.

“Secara peribadi, Piala Asia tidak jadi tekanan kerana kita dalam proses untuk Sukan Asia tahun depan. MHC tidak letakkan sebarang sasaran tetapi jurulatih sasar untuk ke final.”

“Skuad kali ini pun turut dibarisi pemain muda. Walaupun kita menang besar pada perlawanan pertama, masih ada perkara yang perlu diperbaiki dan mereka tahu mengenai situasi ini.”

“Apa pun kita tidak boleh terbawa-bawa dengan kejayaan ini,” katanya ketika ditemui pada Klinik Hoki MHC sempena Hari Sukan Negara di Stadium Hoki Nasional Buki Jalil, sebentar tadi.

Pada program itu, seramai 65 kanak-kanak mengambil bahagian dan modul latihan dikendalikan sendiri oleh pemain dan jurulatih berpengalaman termasuk Dharmaraj Abdullah.

Mengenai program berkenaan, Subahan berkata ia sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh MHC.

“Kita sahut saranan kerajaan dan ia mendapat sambutan bagus daripada ibu bapa dari serata negara termasuk Perlis. Ini CSR kita kepada masyarakat. Saya harap ia akan menimbulkan minat peserta untuk bermain hoki dan jadikan hoki sebagai kerjaya,” katanya.

Disiarkan pada: October 14, 2017 @ 12:44pm
d