arena

Anggap final pacu nadi Kedah

Oleh Izzali Ismail

AKSI separuh akhir pertama menentang FELDA United di Jengka, Pahang ibarat aksi final bagi skuad Helang Merah yang mahu memastikan semua pemain beraksi dengan komitmen tinggi.

Menurut Ketua Jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff, beliau mahu semua pemain menunjukkan aksi terbaik dan fokus umpama final bagi memastikan mendapat bekalan selesa ke peringkat kedua di Darul Aman pada 21 Oktober nanti.

“Kami harus turun dengan semangat dan aura seumpama perlawanan final dan inilah masanya kami harus mengambil apa saja peluang yang ada untuk mencapai hasrat ke final.”

“Lupakan sebentar semua tekanan beraksi di tempat lawan dan fokus seratus peratus inginkan kemenangan. Jika kami dapat menguasai tekanan, saya yakin dengan pengalaman yang ada pada pemain, kami mampu mendapat keputusan baik untuk dibawa balik ke peringkat separuh akhir kedua di Darul Aman.”

“Lupakan episod kekalahan 1-3 kepada FELDA United dalam aksi Liga Super pada bulan lalu, sebaliknya jadikan ia sebagai satu cabaran untuk memburu kemenangan di pentas separuh akhir ini,” katanya.

Nidzam menjelaskan, dalam tempoh dua minggu latihan, beliau berusaha memperbaiki beberapa kelemahan di setiap bahagian agar tidak memberi kelebihan dan ruang kepada pihak lawan.

Katanya, pemain perlu mengelak melakukan kesilapan mudah dan harus bijak menggunakan ruang untuk mengawal bola di setiap sudut.

“Kami juga perlu waspada pada tahap kepantasan pemain FELDA United kerana mereka sudah biasa bermain di padang rumput tiruan di stadium itu yang memerlukan gerakan pantas,” katanya.

Rekod enam pertemuan sejak 2015 menyaksikan Kedah mencatatkan kemenangan dua kali, seri dua kali dan kalah dua kali.

Disiarkan pada: October 14, 2017 @ 1:04pm
d