arena

Hartley ganti Gasly

Oleh AFP

PARIS: Juara Le Mans, Brendon Hartley dari New Zealand akan menggantikan Pierre Gasly serta membuat penampilan pertama dalam perlumbaan Formula 1 (F1) pada Grand Prix (GP) Amerika Syarikat bersama pasukan Toro Rosso, minggu depan.

Sebaliknya Gasly yang menyertai Toro Rosso daripada Kejohanan Super Formula menggantikan Daniil Kvyat akan beraksi dalam satu perlumbaan di Jepun, pada hari sama dengan GP Amerika Syarikat.

Hartley, 27, yang pernah diuji Toro Rosso pada 2009 muncul pelumba New Zealand kedua beraksi di F1 selepas kali terakhir dilakukan Mike Thackwell 33 tahun lalu.

“Perasaan saya cukup luar biasa dan saya tidak pernah berputus asa mencapai cita-cita saya sejak kecil,” kata Hartley yang menjuarai perlumbaan 24 jam Le Mans, Jun lalu.

“Saya tidak mahu meletakkan sebarang harapan pada penampilan pertama kali ini tetapi saya tetap bersedia untuk mengharungi perlumbaan.”

Sementara itu, bos Toro Rosso Franz Tost berkata, beliau gembira dengan kehadiran Hartley dan menyifatkan pelumba itu sebahagian daripada keluarga Red Bull.

“Brendon hadir selaku juara 24 jam Le Mans dan kini sedang mendahului perlumbaan Kejohanan Endurance Dunia FIA LMP1. Saya yakin dia akan melaksanakan tugasnya dengan baik,” kata Tost.

Disiarkan pada: October 14, 2017 @ 2:10pm
d