arena

Nicholas harap Gavin, Danny di kelompok atas

Oleh Naqib Nor Said & Farah Azharie

PEMAIN golf negara, Nicholas Fung berharap untuk melihat salah seorang pemain negara menamatkan aksi di kedudukan lebih baik tatkala saingan CIMB Classic di TPC Kuala Lumpur menuju ke hari terakhirnya, esok.

Selepas saingan hari ketiga berakhir sebentar tadi, Nicholas kekal sebagai pemain tercorot negara di kedudukan ke-72 daripada 78 pemain berbanding dua lagi rakan senegara Gavin Kyle Green (44) dan Danny Chia (62).

Buat hari kedua berturut-turut Nicholas, 27, melakar keputusan terendah berbanding dua lagi rakan senegaranya itu, namun juara Piala Queen 2017 (Jelajah Asia) di Thailand itu enggan berterusan dibandingkan dengan Gavin dan Danny.

“Saya tidak bersaing dengan rakan senegara sendiri kerana saya sentiasa berharap untuk salah seorang pemain Malaysia akan menyerlah dan menamatkan aksi di tempat terbaik.

“Untuk esok, saya hanya mahu buat yang terbaik kerana saya sudah mengumpul keseluruhan empat atas par. Mungkin cuba mencatat empat atau lima pukulan bawah par untuk menamatkan saingan dengan catatan bawah par,” katanya.

Nicholas yang membuat penampilan ketiga di CIMB Classic memulakan aksi hari ketiga dengan baik sebelum dimusnahkan dengan bogey pada lubang kedua dan double bogey pada lubang ketujuh untuk berpuas hati dengan tiga atas par 75 bagi mengumpul keseluruhan empat atas par 220.

Berbeza pula dengan Gavin yang ketika ini mendahului carta Order of Merit Jelajah Asia apabila terus merakam kebangkitan selepas mencatat 69 pukulan hari ini untuk keseluruhan tiga bawah par 213.

Catatan yang dilakukannya itu menyaksikan Gavin, 23, berkongsi kedudukan ke-44 bersama enam pemain lain selepas hanya mengutip 73 dan 71 pukulan dalam dua hari pertama saingan.

“Saya fikir saya mempamerkan satu lagi persembahan baik hari ini biarpun melakukan beberapa kesilapan dan putt saya juga menjadi terutama ketika birdie di lubang ke-16, 17 dan 18,” katanya.

Disiarkan pada: October 14, 2017 @ 6:19pm
d