arena

Lupakan sumpahan Wembley

Oleh AFP

LONDON: Mauricio Pochettino menggesa pemainnya melupakan ‘sumpahan’ di Wembley selepas Tottenham Hotspur mencatat kemenangan sulung dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di gelanggang sementara pasukan itu, semalam.

Gol Christian Eriksen sejurus babak pertama bersambung mengesahkan kemenangan 1-0 Spurs ke atas Bournemouth yang juga kemenangan pertama di laman sendiri dalam aksi liga selepas empat percubaan.

Kemenangan tipis itu mengekalkan kedudukan skuad Pochettino di tangga ketiga liga untuk terus menghambat dua kelab Manchester yang menghuni kedudukan dua teratas.

Tottenham yang terpaksa melupakan White Hart Lane susulan proses naik taraf berdepan kesulitan di stadium nasional itu selepas mencatat rekod baik di laman sendiri musim lalu.

“Amat penting bagi kami untuk menang di sini,” kata Pochettino. “Ia juga penting kerana saya boleh mengelak pelbagai soalan.

“Kami perlu berasa gembira untuk menang di sini dan Wembley adalah rumah kami. Kami tidak pernah kalah pada musim lalu dan kami perlu menang perlawanan di laman sendiri.”

Pochettino sebelum ini berang apabila pengurus Manchester City Pep Guardiola menggelar pasukannya bergantung harap kepada seorang pemain iaitu penyerang Harry Kane.

Begitupun, penyerang England itu gagal menambah jumlah jaringannya sekali pun memperoleh dua peluang terbaik termasuk di hadapan gawang.

“Ia penting. Bukan hanya Harry menjaringkan gol. Di sini ia adalah Christian tetapi paling utama ialah mengenai semangat berpasukan,” kata Pochettino.

“Harry amat gembira kerana dia sentiasa mahukan kemenangan dan sebagai penyerang, dia akan lebih gembira jika dapat menjaringkan gol.

“Kami memperoleh prestasi yang hebat di atas padang. Harry Winks sebagai contoh memiliki kualiti yang hebat dengan potensi yang besar. Skuad kebangsaan sudah memanggilnya dan ia mengesahkan kualitinya.”

Disiarkan pada: October 15, 2017 @ 3:28pm
d