arena

Jin Wei perlu lebih tenang: Rony

Oleh Helmi Talkah

PEMAIN perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei (gambar) perlu lebih tenang bagi mempamerkan aksi terbaiknya dalam usaha memburu gelaran juara dunia kali kedua apabila saingan individu Kejohanan Badminton Remaja Dunia bermula di Yogyakarta, Indonesia, esok.

Jurulatih perseorangan wanita, Rony Agustinus berkata, situasi cukup berbeza buat bintang muda negara itu ketika beraksi di peringkat remaja yang menyaksikan dia lebih tertekan berbanding aksinya di peringkat senior.

Tekanan jelas dapat dilihat dalam diri Jin Wei apabila dia yang diletakkan sebagai sandaran utama gagal menyumbang mata buat skuad negara yang tewas 1-3 kepada China pada aksi final berpasukan campuran, semalam. Juara remaja dunia 2015 itu tewas kepada Han Yue 16-21, 22-20, 18-21.

“Kalau anda tengok situasinya cukup berbeza buat Jin Wei beraksi di peringkat remaja dan senior. Dalam saingan remaja dia lebih tertekan, di peringkat senior dia lebih tenang kerana apa jua keputusan dia tidak rugi apa-apa.

“Jadi, saya harap dia lebih bijak untuk mengawal tekanannya apabila bermain dalam acara individu. Dia perlu lebih tenang dan fokus untuk merencana taktikal serta strategi dalam permainannya nanti.

“Saya tidak mahu letak tekanan yang tinggi kepadanya dengan mengatakan dia perlu jadi juara. Apa yang penting untuk saya dia boleh tunjukkan permainan sebenarnya dan itu hanya boleh berlaku jika dia lebih tenang,” jelas Rony.

Mendapat laluan percuma pada pusingan pertama, Jin Wei yang gagal mempertahankan gelaran juara dimenanginya pada 2015 susulan kekalahan mengejut di pusingan kelima pada saingan edisi tahun lalu akan menentang pemain Afrika Selatan, Megan De Beer pada pusingan kedua, esok.

Berdasarkan undian, Jin Wei berdepan laluan cerah untuk mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir.

“Kalau dia berjaya ke separuh akhir, dia dijangka berdepan sekali lagi dengan Han Yue dari China atau pilihan kedua dari Singapura Yeo Jia Min. Jadi, saya harap dia lebih bijak kali ini untuk menyerap tekanan,” kata Rony.

Disiarkan pada: October 15, 2017 @ 4:02pm
d