arena

Fatin buru lapan teratas Kejohanan Dunia

Oleh Devinder Singh

PERSATUAN Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) buat kali pertamanya akan menghantar skuad penuh bagi menyertai Kejohanan Dunia di Mexico City bermula esok.

Susulan persembahan hebat pada Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos lalu apabila Malaysia menang lima pingat emas, pemanah kebangsaan diberi penghargaan untuk menyertai kejohanan dunia itu dengan semuanya dibiayai penuh.

Terdahulu, hanya pemanah recurve dihantar ke Kejohanan Dunia dengan pemanah compound, Fatin Nurfatehah Mat Salleh (gambar) pernah diberi peluang sekali ke kejohanan itu apabila universitinya membiayai perbelanjaan ke kejohanan itu.

Sementara Fatin dianggap sebagai pemanah compound tunggal pada Kejohanan Dunia 2013 di Turki, yang mana dia melangkah ke pusingan kedua, rakan sepasukannya, Saritha Cham Nong dan Sazatul Nadhira Zakaria berpeluang menyertainya kali ini.

“Saya berharap untuk menamatkan saingan dalam lapan kelompok teratas tapi saya kini menggunakan peralatan baru sejak tiga minggu lalu dan saya harap semuanya berjalan lancar,” kata Fatin, 26, yang juga pemenang pingat emas acara berpasukan wanita dan berpasukan campuran pada Sukan SEA.

“Ramai juara dunia akan turut serta dan dengan 24 negara bertanding, kami akan berusaha menempatkan diri dalam kalangan 16 teratas pada pusingan kelayakan acara berpasukan.”

Pasukan compound lelaki diwakili Juwaidi Mazuki, Zulfadhli Ruslan dan Lee Kin Lip sementara skuad recurve wanita diwakili Nur Afisa Abdul Halil, Nur Aliya Ghapar dan Loke Shin Hui.

Harapan negara menerusi trio recurve yang diwakili Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Akmal Nor Hasrin yang sebelum ini berlatih di Korea Selatan bagi persediaan ke Kejohanan Dunia.

Sementara itu, Sukan Asia di Indonesia akan menjadi kejohanan utama bagi pemanah kebangsaan tahun depan, Fatin bagaimanapun belum memutuskan mengnai penyertaannya.

“Saya masih belum putuskan sama ada akan sertai Sukan Asia atau tidak kerana saya mahu menamatkan pengajian saya,” katanya yang kini mengikuti ijazah sains sukan di Universiti Sains Malaysia.

Disiarkan pada: October 15, 2017 @ 5:26pm
d