arena

Hatton raih kejuaraan berganda

Oleh AFP

MILAN: Pemain golf England, Tyrrell Hatton merangkul gelaran kedua Jelajah Eropah dalam tempoh seminggu apabila menjuarai Terbuka Itali di Monza dengan kelebihan satu pukulan, pagi tadi.

Pemain berusia 26 tahun itu melakukan birdie pada lubang terakhir untuk mengekalkan rentak kejayaannya minggu lalu di Kejuaraan Alfred Dunhill Links, sekali gus meraih gelaran ketiga Jelajah Eropah dalam kariernya.

Buat kali kedua juga, rakan senegaranya, Ross Fisher terus memberi tekanan terhadapnya namun terpaksa berpuas hati di tangga kedua dan berkongsi kedudukan dengan pemain Thailand, Kiradech Aphibarnrat.

“Menakjubkan apabila menang dua kali berturut-turut dan bertahan dalam tempoh dua minggu adalah menakjubkan,” kata Hatton yang juga pemain di ranking ke-22 dunia.

“Sekali pun sukar untuk saya mempercayainya, saya cuba untuk kekal bertenang. Akhirnya, saya rasa diberi penghargaan. Sasarannya adalah untuk mendaki ranking dunia setinggi yang mungkin. Jelas, sejak dua minggu lalu ia banyak membantu.”

Bekas pemain Piala Ryder, Fisher mencipta rekod di lapangan Old Course selepas melakukan 61 dan menamatkan saingan tiga pukulan di belakang Hatton, di St Andrews minggu lalu.

Kali ini di Itali, dia melakukan lapan bawah par 63 pada hari terakhir untuk terus memberi tekanan, namun tetap gagal menghalang Hatton dinobatkan sebagai pemenang.

Pendahulu, Matt Wallace menamatkan saingan dua pukulan di belakang, selepas melakukan 69 manakala pemain popular Sepanyol, Miguel Angel Jimenez, 53, meraih penamat di kelompok 10 terbaik pertamanya sejak 2015.

Pilihan tuan rumah, Francesco Molinari juga pudar apabila menamatkan saingan empat pukulan di belakang Hatton.

Disiarkan pada: October 16, 2017 @ 11:51am
d