arena

Federer buang badi

Oleh AFP

SHANGHAI: Roger Federer berkata, dia sudah berjaya menghilangkan ‘parut’ kekalahannya kepada Rafael Nadal selepas menjulang Shanghai Masters, semalam dengan merekod kemenangan kelima berturut-turut ke atas pemain nombor satu dunia itu.

Pemain Switzerland berusia 36 tahun itu mempamerkan aksi menakjubkan untuk menewaskan Nadal 6-4, 6-3 sekali gus menjulang trofi keenamnya musim ini dan lantas mengubah nasibnya setiap kali bertemu seteru utamanya itu.

Federer yang juga pemain nombor dua dunia menamatkan badi lima kekalahan berturut-turut kepada Nadal di Basel tahun lalu, sebelum menjuarai Terbuka Australia pada Januari.

Dia turut menewaskan bintang Sepanyol itu di pentas final Indian Wells dan Miami sebelum ke Shanghai, tetapi Nadal masih memiliki rekod kemenangan besar ke atasnya dengan menang 23 daripada 38 pertembungan mereka secara keseluruhan.

Federer berkata “kami tidak mempunyai banyak tahun lagi dalam jelajah” untuk mengatasi rekod pencabar utamanya itu tetapi menegaskan dia tidak lagi peduli dengan perbezaan.

“Saya hanya berfikir yang saya tidak lagi takut seperti yang dialami seperti sebelum ini, tetapi bukanlah seperti ketakutan yang melampau,” kata Federer ketika ditanya mengenai pertemuan dengan Nadal.

“Tetapi kadang kala saya juga tewas kepadanya, banyak kali terutama di gelanggang tanah liat.”

Federer yang memegang rekod 19 kali gelaran Grand Slam berbanding 16 dimiliki Nadal dipalit kecederaan tahun lalu sebelum bangkit untuk memenangi dua gelaran major tahun ini.

Federer melupakan musim di gelanggang tanah liat tahun ini dan berkata, dia mengelak berdepan Nadal yang dianggap pakar dan memberikan lawannya itu kelebihan.

Katanya, dia percaya kekalahan kepada Nadal di pentas final Wimbledon 2008 disebabkan dia masih terganggu dengan kekalahan besar pada aksi di Roland Garros yang berlangsung beberapa minggu sebelum itu.

Selepas kemenangan lima set di Melbourne tahun ini, Federer berkata, dia fokus untuk bermain “bola, bukan pihak lawan” untuk mengelak sebarang tekanan mental.

Begitupun, pemain legenda itu mengakui sukar untuknya menyingkirkan Nadal daripada kedudukan nombor satu dunia pada tahun ini.

Disiarkan pada: October 16, 2017 @ 3:24pm
d