arena

FMLLP janji ambil tindakan

Oleh Aziman Rosdi

KUALA LUMPUR: Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) berjanji mengambil tindakan sewajarnya berhubung insiden mercun yang mencederakan penonton di Stadium Perak, Ipoh selepas aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak dan Johor Darul Ta'zim (JDT), malam tadi.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu mengesahkan mereka akan meneliti laporan penuh berhubung insiden berkenaan sebelum diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan lanjut.

Selain itu, FMLLP turut memberi jaminan mengetatkan kawalan keselamatan bagi aksi separuh akhir kedua bukan saja membabitkan aksi kedua-dua pasukan itu di Larkin pada 21 Oktober ini, malah satu lagi pertembungan antara Kedah dengan FELDA United di Alor Setar.

"FMLLP juga komited bekerjasama penuh dengan pihak berkuasa bagi sebarang tindakan susulan dari sudut ketenteraman awam dan memastikan keganasan bola sepak tidak lagi berulang di semua perlawanan akan datang termasuk perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia yang dijadualkan pada hujung minggu ini," jelas kenyataan itu.

Perlawanan antara Perak dan JDT berkesudahan seri 1-1, namun apa yang mengejutkan insiden selepas tamat perlawanan apabila ada penyokong bertindak membaling objek termasuk mercun ke dalam padang dan di luar stadium.

Tindakan ganas itu mengakibatkan seorang penyokong cedera di kepala dan perut dipercayai terkena letupan mercun.

FMLLP bagaimanapun menyatakan ucapan penghargaan kepada pihak berkuasa susulan tindakan pantas untuk membendung insiden itu daripada menjadi lebih buruk.

"Pihak kami memuji keprihatinan KDNKA (Kementerian Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam) kepada isu-isu yang berkait dengan keganasan bola sepak dan berterima kasih di atas tindakan pantas pihak berkuasa yang memastikan insiden yang lebih buruk dapat dielakkan.

"FMLLP juga menyeru kepada semua penyokong bola sepak tempatan untuk bersama-sama berganding bahu membanteras perkara seumpama ini. Jadikan stadium sebagai tempat yang selamat untuk dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat," jelasnya.

Disiarkan pada: October 16, 2017 @ 9:26pm
d