arena

Hafiz sangguh tangguh pengajian

Oleh Haika Khazi

PELUMBA para negara, Muhammad Hafiz Jamali (gambar), 27, sanggup menangguhkan pengajiannya di Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute (UniKL MFI) selama setahun demi mewakili Malaysia dalam acara berbasikal trek dan lebuh raya di Sukan Para Komanwel di Gold Coast Australia serta Sukan Para Asia di Jakarta, pada tahun depan.

Pelajar jurusan kejuruteraan UniKL MFI itu menegaskan, dia nekad membuat keputusan berkenaan selepas merasakan mampu pergi jauh dalam sukan lumba basikal para sekiranya berlatih lebih lama berbanding di Sukan Para ASEAN 2017 lalu.

Perkara itu juga sudah terbukti apabila Hafiz, mencatat keputusan membanggakan dengan meraih pingat perak dalam acara satu kilometer (1km) ujian masa individu lelaki di Sukan Para ASEAN 2017, Ogos lalu, biarpun tidak sampai enam bulan berlatih di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN).

“Biarpun ada banyak suara ‘sumbang’ yang mengatakan keputusan ini merugikan tetapi bagi saya tidak, kerana bukan senang untuk kita terpilih mewakili negara di temasya bertaraf dunia seperti Sukan Para Komanwel dan Sukan Para Asia.

“Kalau saya tolak tawaran berkenaan mungkin peluang untuk saya mewakili negara selepas ini akan tertutup selamanya kerana umur pun semakin meningkat.

“Saya berharap keputusan untuk bercuti selama setahun ini tepat dan membolehkan saya pergi lebih jauh dalam acara lumba basikal lebuh raya dan trek para nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Hafiz menegaskan dia enggan menoleh ke belakang dan akan terus berlatih bersungguh-sungguh bagi memastikan dirinya bersedia sepenuhnya sebelum Sukan Para Komanwel dan Sukan Para Asia, pada tahun depan.

Disiarkan pada: October 16, 2017 @ 11:17pm
d