arena

Inisiatif lahir pemain berbakat

Oleh Pizan Mustapa

Puchong: Dalam usaha untuk melahirkan pemain bola sepak berbakat negara, Kelab Bolasepak Bandar Saujana Putra (BSPFC) dan Kelab Bolasepak Remaja Puchong (KBRP) tampil dengan inisiatif membimbing anak-anak penduduk setempat di kawasan masing-masing untuk menyertai pasukan bawah 8, 10 dan 14 tahun.

Untuk itu, satu perlawanan persahabatan bagi menguji dan memberi pengalaman kepada pemain muda BSPFC dan KBRP diadakan di Sekolah Menengah KEbangsaan (SMK) Puchong Utama, baru-baru ini.

Perlawanan bermula dengan aksi bawah 8 tahun yang dimenangi pasukan BSPFC menerusi catatan 4-3 dan perlawanan disusuli dengan aksi bawah 10 pasukan KBRP yang menang dengan keputusan 3-2.

Kemuncak perlawanan menemukan skuad bawah 14 tahun dan ia dimenangi wakil KBRP yang mengalahkan lawan dengan keputusan 4-2.

KBRP yang pernah menyertai kejohanan bola sepak 1Malaysia Cardiff City (1MCC), dibimbing tiga jurulatih diketuai Disham Nazri (bawah 8 tahun), Ishah Nazri (bawah 14 tahun) dan Mohd Zamri Abd Hamid (bawah 10 tahun).

Sementara itu, pasukan BSPFC bawah 14 tahun dikendalikan Abdul Rani Hussien dan Mohammad Hafiz Abd Rahman manakala pasukan bawah 8 tahun yang diwakili anak-anak penduduk Taman Iris Garden II dibimbing Mohd Faizal Khiyarruddin (pengurus) serta jurulatih Hasrul Hazwan Mohd Hassan dan Zainul Ariffin Ahmad Fuzi untuk pasukan bawah 8 tahun.

Pasukan bawah 10 tahun pula telah dibimbing Mohammad Iqbar Hasan (pengurus) serta Yacob Borhan dan Muhamad Mohd Jinin.

Acara perasmian disempurnakan Faizal Amran yang juga pemain veteran BSPFC.

Pengerusi BSPFC, Zam Zam Mat Jani berkata, perlawanan itu menyediakan peluang pembelajaran buat semua pemain selain bertujuan mencari penaja.

“Kita perlu memberi pendedahan kepada pemain muda untuk bermain dengan pasukan lebih berpengalaman seperti KBRP sekali gus menimba ilmu dan berharap BSPFC akan menjadi sebuah kelab yang berjaya melahirkan pemain berbakat negara.

“Kami juga perlukan penaja kerana selama ini kami bergerak dengan bantuan kewangan ibu bapa dan sukarelawan yang menyumbang tenaga secara percuma,” katanya.

Disiarkan pada: October 17, 2017 @ 9:10am
d