arena

Terengganu Turtles rampas kedudukan pendahulu STL

Oleh HM Digital

Serdang Jaya: Terengganu Turtles bangkit dari kekalahan mengejut kepada pendatang baru, Selangor Pistons pada minggu pembukaan untuk merampas kedudukan pendahulu Sepaktakraw League (STL) Premier selepas tamat aksi minggu kedua di Stadium Majlis Perbandaran Serdang Jaya (MPSJ).

Pasukan yang diperkuat tonggak berpengalaman seperti Hanafiah Dollah, Zulkifli Razak dan Safarudin Abu Bakar itu melakar dua kemenangan dengan menewaskan Johor Tigris dan kemudiannya membuktikan reputasi selaku pasukan pilihan apabila meleburkan rekod tanpa kalah juara bertahan, Penang Black Panthers.

Dengan tiga kemenangan dari empat perlawanan, Turtles menolak Black Panthers bimbingan Sufian Napiah yang turut mencatat tiga kemenangan ke tangga kedua menerusi perbezaan set.

Finalis musim lalu, Kuala Lumpur Thunder menamatkan minggu pembukaan tanpa kemenangan pula mencuri tumpuan apabila tampil dengan aksi bertenaga untuk melakar dua kemenangan tanpa tewas sebarang set untuk melonjak ke kedudukan ketiga.

Dibarisi pemain tonggak seperti Amirul Zazwan Amir, Idham Sulaiman dan Norhafizi Razak, KL Thunder menterjemahkan permainan yang jauh lebih baik dan bermula dengan kemenangan 2-0 ke atas Selangor Piston sebelum melengkapkan minggu cemerlang mereka dengan mengatasi Johor Tigris 2-0.

Ketika pasukan lain seperti juara Divisyen Satu, Perak Bison, ATM Guardians dan Selangor Pistons menutup tirai minggu kedua dengan satu kemenangan, ia minggu yang pastinya mahu dilupakan Kelantan Warriors dan Johor Tigris selepas kedua-duanya gagal merakam sebarang kemenangan.

Warriors bimbingan Rozi Rahman mengalami kekalahan ketiga berturut-turut apabila kecundang 1-2 kepada Black Panthers dan 0-2 kepada ATM Guardians. Pasukan itu menghuni tangga ketujuh dengan hanya satu kemenangan yang dicatat pada aksi pertama ketika menewaskan KL Thunder pada 30 September lalu.

Sementara Johor Tigris pula bukan saja tewas kedua-dua perlawanan kepada Turtles dan KL Thunder, namun menjadi satu-satunya pasukan yang gagal menang walau satu pun set pada minggu kedua.

Disiarkan pada: October 17, 2017 @ 9:36am
d