arena

Hazard tekad menyerlah di Eropah

Oleh AFP

LONDON: Selepas kecewa dengan kegagalan musim lalu, bintang Chelsea, Eden Hazard perlu segera memberikan impak besar yang akan menjadi ingatan peminat dalam penampilannya di saingan Liga Juara-Juara.

Ketika Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan Neymar sudah layak digelar legenda menerusi prestasi menakjubkan dalam pertandingan elit antara kelab Eropah itu, Hazard pula masih mencari identiti dalam kejohanan utama berkenaan.

Hazard memiliki kualiti yang tidak dipertikaikan dan pemain tengah Belgium ini turut disenaraikan sebagai calon pemain terbaik untuk anugerah Ballon d’Or - selepas mengemudi Chelsea menjulang Liga Perdana Inggeris (EPL), musim lalu.

Namun, ketika dia dilihat mudah melepasi halangan pertahanan di liga tempatan, Hazard yang tampil kali pertama dalam Liga Juara-Juara bersama Lille pada 2011 berdepan kesukaran untuk mempamerkan bakat sebenar di pentas elit Eropah.

Kali ini, Hazard memiliki peluang untuk membuktikan kehebatannya apabila Chelsea berdepan AS Roma, awal pagi esok.

Menyedari musim ini bakal menjadi kemuncak prestasi Hazard, pengendali Chelsea, Antonio Conte melaungkan cabaran terbuka kepada pemainnya supaya mengenepikan perbezaan personaliti mereka, kerana ia akan memberi impak negatif ke atas prestasi di padang.

“Bagi saya, pada musim lalu, Eden memainkan peranan cukup penting. Dia beraksi bagus, dan cukup penting untuk kami memenangi liga,” kata Conte.

“Dia mempamerkan bakat yang hebat dan sebagai pemain yang cukup bagus. Kejohanan ini cukup penting untuknya dan pasukan.

“Kejohanan ini memberikan pemain satu tahap yang berbeza, dan saya fikir dia mampu melakukannya. Dia pemain utama. Saya fikir dia berada di landasan tepat,”

Ketika bersama Lille, Hazard gagal menjaringkan sebarang gol dan pasukannya juga tersingkir di peringkat kumpulan.

Selepas itu, Hazard mula mendapat peluang lebih besar apabila mengikat kontrak bersama Chelsea, beberapa minggu selepas kelab itu menjuarai Liga Juara-Juara 2012.

Namun, setakat ini, Hazard masih belum menemui sentuhan jaringan ketika Chelsea bergelut di peringkat kumpulan.

Hazard menjaringkan gol pertama di Liga Juara-Juara ketika menentang Schalke pada 2013 dan lebih banyak gol selepas itu ketika membantu Chelsea layak ke separuh akhir.

Disiarkan pada: October 17, 2017 @ 1:12pm
d