arena

Nasib lapan pasukan ditentukan petang ini

Oleh AFP

LONDON: Juara dunia empat kali, Itali menyertai tujuh lagi pasukan yang bakal beraksi di pusingan playoff kelayakan Piala Dunia 2018 dan nasib mereka akan ditentukan pada undian yang dijangka akan dilakukan, petang ini.

Itali yang juga juara edisi 2006 menyertai Switzerland, Croatia, Denmark, Ireland Utara, Sweden, Republik Ireland dan Greece.

Skuad kendalian Gian Piero Ventura itu terpaksa memilih jalan sukar selepas sekadar menamatkan aksi Kumpulan G di tempat kedua, di belakang Sepanyol.

Ireland Utara kini sudah berada di laluan betul untuk ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1986 apabila anak buah Michael O’Neill berjaya meneruskan momentum sejurus kejayaan mereka layak ke Euro 2016.

Republik Ireland pula mengharapkan tidak berlaku lagi insiden sama seperti ketika aksi playoff menentang Perancis pada 2009, apabila gol kontroversi Thierry Henry disahkan sedangkan bola didakwa terkena tangannya terlebih dulu.

Sweden yang juga naib juara 1958 memburu tempat ke pusingan akhir di Russia tahun depan selepas kali terakhir melakukannya pada 2006.

Lapan pasukan yang akan beraksi di playoff akan dipecahkan kepada dua kumpulan mengikut kedudukan ranking dunia.

Switzerland di ranking ke-11, diikuti Itali (15), Croatia (18) dan Denmark (19) - diletakkan dalam balang 1 manakala bakinya diletakkan di balang 2 - Ireland Utara (23), Sweden (25), Republik Ireland (26) dan Greece (47).

Perlawanan pertama dijadualkan berlangsung antara 9 hingga 11 November ini, manakala timbal balik berlangsung pada 12 hingga 14 November.

Pemenang akan ditentukan berdasarkan jumlah agregat gol selepas tamat dua pusingan, dan jika kedudukannya masih sama, jumlah gol di tempat lawan akan diambil kira.

Pusingan ini akan menentukan pasukan mana yang akan memenuhi kuota Zon Eropah yang kini sudah diisi Perancis, Portugal, Jerman, Serbia, Poland, England, Sepanyol, Belanda, dan Iceland.

Russia pula layak selaku pasukan tuan rumah.

Disiarkan pada: October 17, 2017 @ 1:45pm
d