arena

FELDA kekal optimis

Oleh Asrol Awang

BIARPUN terikat 1-1 ketika berdepan juara bertahan, Kedah dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia, skuad FELDA United tetap optimis mereka masih berpeluang ke pentas akhir menjelang aksi timbal balik, Sabtu ini.

Pemain tengah The Fighters, Wan Zack Haikal Wan Noor menegaskan keputusan seri itu langsung tidak melemahkan semangat pemain kelab berkenaan untuk memburu tempat ke final piala berprestij itu.

Ini kerana, baginya perlawanan masih lagi berbaki 90 minit dan semuanya boleh berubah jika prestasi lebih mantap dipersembahkan pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman.

"Kami bukannya tewas di tempat sendiri dan dengan berbaki 90 minit di Alor Setar, Sabtu ini, aksi lebih agresif akan dipersembahkan untuk mengisi slot final.

"Saya percaya rakan sepasukan akan mempamerkan semangat juang tinggi dan lebih tenang untuk merekodkan kemenangan buat The Fighters," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Zack Haikal yang menyertai The Fighters musim ini berkata, kelab itu kini berada pada prestasi meyakinkan namun perlu lebih tenang untuk membolosi gawang tuan rumah.

Pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Tun Abdul Razak, Ahad lalu, FELDA United memiliki deretan peluang tetapi gagal memanfaatkannya dengan sebaik mungkin.

"Kami perlu lebih memperkasakan jentera serangan sekali gus merobek gawang skuad Helang Merah yang sudah pastinya lebih yakin apabila beraksi di laman sendiri.

"Pada masa sama, bahagian pertahanan tidak boleh melakukan sebarang kesilapan bagi mengelak Kedah menjaringkan gol.

"Apa yang pasti, kami tidak boleh memberi ruang kepada Kedah dan pada masa sama peluang yang ada tidak boleh dipersiakan jika mahu beraksi di pentas final," kata pemain kelahiran Maran, Pahang itu.

Disiarkan pada: October 17, 2017 @ 2:28pm
d