arena

Jalani latihan intensif di China

Oleh Firdaus Hashim

SKUAD muda negara yang akan menyertai kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di China Januari ini bercadang menjalani latihan intensif di China bermula Disember ini.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, beberapa perancangan sudah dirangka bagi membolehkan pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee menyediakan skuad terbaik di kejohanan terbesar itu.

“Kita sedar keperluan untuk mempersiapkan pasukan B-23 yang bakal berentap di China awal tahun depan,” kata Yusoff.

“Pasukan yang layak bukanlah pasukan biasa-biasa, kesemuanya adalah pasukan terbaik di benua ini termasuk negara kita. Jadi sudah tentunya kita mengharapkan pasukan negara mampu bersaing di sana.

“Kita tidak mahu pergi sekadar melengkapkan jadual atau menjadi pasukan belasan semata-mata. Sebab itu kita rancang akan menghantar pasukan berlatih di China pada penghujung tahun ini supaya pemain dapat menjalani latihan dan beraksi dengan perlawanan persahabatan bersama kelab-kelab di sana.

“Apapun, ia masih di peringkat perbincangan dan jika Presiden FAM (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) memperkenankan, In Shaa Allah kita akan berangkat ke sana pada Disember ini.”

Skuad B-23 negara mencipta kejutan apabila layak secara merit ke pusingan akhir Kejohanan AFC tahun depan selepas muncul juara kelayakan di Bangkok, Julai lalu.

Dalam pusingan kelayakan Kumpulan H itu, Malaysia menduduki tangga teratas menerusi pungutan enam mata selepas menewaskan Indonesia (3-0) dan Mongolia (2-0).

Meskipun tumpas kepada Thailand 3-0, skuad negara tetap layak buat pertama kalinya ke saingan itu yang dijadualkan berlangsung dari 9 Januari hingga 17 Februari depan.

Rentak cemerlang itu kemudiannya diteruskan pada saingan Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos lalu apabila meraih pingat perak di temasya dwitahunan itu.

“Semua tahu persediaan pemain Kim Swee untuk dua kejohanan (kelayakan AFC dan Sukan SEA) sebelum ini terganggu dengan pelbagai masalah dalaman.

“Jadi untuk kali ini, kita tidak akan berdepan masalah serupa kerana saingan liga tempatan sudah berakhir pada hujung bulan ini.

“Saya harap kita mampu kumpulkan skuad terbaik dan memberi sepenuh kepercayaan serta sokongan kepada Kim Swee untuk perkuatkan pasukan menjelang kejohanan AFC itu tahun depan,” katanya.

Sebelum ini, Kim Swee dan skuadnya seakan tidak diletakkan harapan apabila hanya enam pemain melaporkan diri ekoran keengganan beberapa kelab Liga Malaysia melepaskan pemain dalam persediaan menghadapi kelayakan AFC dan Sukan SEA itu.

Disiarkan pada: October 17, 2017 @ 7:56pm
d