arena

Kemenangan sulung Leipzig

LEIPZIG (Jerman): RB Leipzig akhirnya berjaya merakam kemenangan sulung dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini selepas menewaskan Porto, 3-2 di laman sendiri, pagi tadi.

Willi Orban meletakkan Leipzig di depan seawal minit kelapan, diikuti jaringan Emil Forsberg dan Jean-Kevin Augustin pada minit ke-37 dan minit ke-40.

Kemenangan itu meletakkan Leipzig di tangga kedua Kumpulan G, dengan kelebihan satu mata di depan Porto dan kembali menghidupkan peluang kelab Jerman itu untuk melangkah ke peringkat kalah mati.

Namun mereka masih ketinggalan lima mata di belakang juara Turki, Besiktas yang mengekalkan rekod sempurna hasil kemenangan 2-1 di Monaco.

“Kami mahu terus beraksi dalam Liga Juara-Juara selepas Krismas dan kemenangan hari ini adalah amat penting untuk mencapainya,” kata pemain tengah Leipzig, Marcel Sabitzer.

Leipzig terpaksa melupakan khidmat penyerang bintangnya, Timo Werner di awal permainan sebelum pemain berusia 21 tahun itu dimasukkan di lewat permainan susulan kurang cergas, namun ketiadaannya tidak begitu dirasai.

“Ia bukannya mudah tetapi kami mampu untuk mendapatkan tiga mata menentang pasukan yang hebat seperti Porto.

“Kami memberikan mereka banyak tekanan pada penghujung perlawanan dan bersyukur ia berjalan baik untuk kami,” kata penyerang Leipzig, Bruma.

Selepas gol pembukaan Orban, Porto bangkit menyamakan kedudukan menerusi Vincent Aboubakar pada minit ke-18, sebelum Leipzig menggandakan kelebihan dengan gol Forsberg dan Augustin.

Seminit sebelum babak pertama berakhir, Ivan Marcano kembali menyalakan harapan apabila meledak gol kedua Porto namun tiada jaringan dapat disaksikan selepas itu untuk kemenangan buat Leipzig. - AFP

Disiarkan pada: October 18, 2017 @ 10:29am
d