arena

B-22 ada kualiti

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pengendali skuad kebangsaan, Nelo Vingada bersedia ‘menaikkan pangkat’ pemain skuad bawah 22 tahun (B-22) negara selepas barisan pilihannya beraksi hambar dalam beberapa aksi persahabatan dan Kelayakan Piala Asia 2019.

Beliau yang mula membimbing Harimau Malaya, Mei lalu, masih gagal menghadiahkan sebarang kemenangan buat Malaysia apabila skuad kendaliannya masih gagal mencipta kemenangan sepanjang lima perlawanan menentang Lubnan (2-1), Syria (2-1), Myanmar (1-0) dan Hong Kong (2-0 dan 1-1).

Prestasi buruk itu turut menyaksikan kedudukan terbaru skuad kebangsaan dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) merosot empat anak tangga ke-170 dunia.

“Memang saya merancang memanggil lebih ramai pemain daripada skuad B-22 bagi tiga baki aksi kelayakan Piala Asia selepas ini.”

“Sekarang anda dapat lihat, lima pemain sudah berada dalam skuad senior dan saya jangkakan akan lebih ramai lagi dipanggil. Ini antara proses peralihan yang sedang berlaku dan saya tidak boleh merombak pasukan secara drastik.”

“Ia perlu dilakukan secara berperingkat dan terus terang saya katakan, lima pemain yang disenaraikan bertemu Hong Kong itu berjaya melaksanakan tugas dengan cemerlang,” katanya yang mengakui gembira dengan prestasi lima tonggak muda iaitu Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba, Ifwat Akmal Chek Kassim, Adam Nor Azlin dan Matthew Davies.

Vingada, 64, yang turut memikul tanggungjawab selaku pengurus pasukan berkata, kebimbangan ramai pihak mengenai penurunan ranking bukanlah suatu perkara baru, sebaliknya ia sudah beberapa kali menjunam jatuh sebelum beliau menggantikan Datuk Ong Kim Swee lima bulan lalu.

“Saya hairan mengapa isu kejatuhan ranking ini diperbesarkan sedangkan ia sudah beberapa kali jatuh, malah lebih teruk lagi.”

“Saya baru saja bersama pasukan pada Mei lalu dan setiap kali menjelang persiapan pasukan untuk aksi Kelayakan Piala Asia sering terganggu kerana kegagalan mendapatkan pemain terbaik.”

“Bukan mahu memberi alasan sebaliknya itulah realiti yang terjadi. Apapun, saya dan barisan kejurulatihan mengambilnya (kejatuhan ranking) dari sudut positif. Selepas ini anda akan melihat wajah baru dalam skuad negara,” katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2017 @ 6:02pm
d