arena

Van Huizen puji semangat melawan Speedy Tigers

Oleh Jugjet Singh di Dhaka

JURULATIH skuad hoki lelaki negara, Stephen van Huizen memuji semangat juang tinggi yang diperagakan anak buahnya ketika bangkit menewaskan Pakistan 3-2 pada aksi pertama round robin Piala Asia, sebentar tadi.

“Kemenangan ini terhasil kerana semua pemain memiliki semangat juang tinggi. Biarpun Pakistan menjaringkan dua gol ‘mudah’, pemain bangkit dua kali untuk memenangi perlawanan penting ini.”

“Esok, kami akan bertemu satu lagi perlawanan sukar menentang India dan kami perlukan program pemulihan segera bagi menentang lawan itu.”Kemenangan akan memberikan kami tempat di final Piala Asia buat pertama kali,” kata Van Huizen sejurus perlawanan itu.

Kemenangan ke atas Pakistan itu adalah yang pertama dicatat Speedy Tigers sepanjang 10 edisi Piala Asia ke atas lawan itu.

Pakistan sebelum ini memenangi sembilan pertemuan sementara satu lagi perlawanan berakhir dengan keputusan seri.

Bagaimanapun, kejayaan itu terpaksa dibayar dengan harga mahal apabila Fitri Saari, Faizal Saari dan Haziq Shamsul cedera akibat corak permainan keras yang dipamerkan lawan selepas gagal menyaingi kepantasan pemain negara.

Umar Bhutta terlebih dahulu membuka jaringan buat Pakistan pada minit pertama permainan sebelum Razie Rahim menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-10.

Namun, Pakistan kembali mendahului permainan menerusi Muhammad Yaqoob selang sembilan minit kemudian sebelum jaringan daripada Shahril Saabah (m-25) memberi nafas lega buat pasukan negara.

Fitri kemudian memastikan kemenangan apabila menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-34 selepas penjaga gol Pakistan, Mazhar Abbas melemparkan ‘pad’ ke arah perut Haziq Samsul.

Malaysia perlu menewaskan India esok bagi menjamin kedudukan ke final dan jika kalah, mereka tiada pilihan selain menundukkan Korea Selatan dalam aksi terakhir, Sabtu ini.

Disiarkan pada: October 18, 2017 @ 9:19pm
d