arena

Qarabag buat Atletico goyah

Oleh AFP

BAKU: Atletico Madrid terus menerima tamparan yang mengancam peluang mereka mara ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas diikat 0-0 oleh Qarabag, awal pagi tadi.

Keputusan menyaksikan kelab kurang ternama di pentas Eropah dari Azerbaijan itu meraih mata pertama dalam saingan berprestij berkenaan sekali pun pada satu ketika beraksi 10 pemain selepas penyerangnya, Dino Ndlovu dilayangkan kad kuning kedua.

Atletico yang juga finalis edisi 2014 dan 2016 hanya mengumpul dua mata daripada tiga perlawanan dan kekal di tangga ketiga di belakang pendahulu, Chelsea dan Roma dalam Kumpulan C.

Pelawat memperoleh banyak peluang untuk menjaringkan gol pada babak pertama namun ketumpulan jentera serangan terus menghantui kelab Sepanyol itu yang buat kali keempat menamatkan permainan dengan 0-0 musim ini.

“Penyerang perlu bekerja lebih keras. Kami bagus di bahagian belakang, mencipta peluang tetapi tidak memanfaatkannya,” kata penyerangnya, Antoine Griezmann kepada BeIN Sports Sepanyol.

“Masih ada perlawanan yang perlu diharungi. Kami akan cuba untuk memenangi kesemuanya dan lihat apa yang berlaku.”

Penjaga gol Qarabag, Ibrahim Sehic layak menerima pujian apabila menyelamatkan cubaan Griezmann dan Yannick Carrasco di awal permainan ketika rembatan Jose Maria Gimenez hanya tersasar beberapa inci sebelum rehat.

Begitupun, juara Azerbaijan yang beraksi buat pertama kali dalam kempen Liga Juara-Juara itu mendapat peluang lebih baik pada babak kedua.

Tetapi ketika Ndlovu merasakan dia bakal diberikan penalti selepas dijatuhkan Diego Godin, pengadil Perancis, Ruddy Buquet berfikir sebaliknya dengan mengarahkannya keluar padang kerana dikatakan sengaja menjatuhkan badan pada minit ke-75.

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 11:21am
d