arena

Malaysia sasar tangga ke-10 GC2018

Oleh Haika Khazi dan Nur Syahirah Marzuki

MALAYSIA menyasarkan menduduki sekurang-kurangnya tangga ke-10 keseluruhan di Sukan Komanwel Gold Coast (GC2018), Australia, pada tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, melahirkan keyakinan bahawa kontinjen Malaysia diketuai oleh Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Huang Ying How mampu meraih kejayaan lebih baik berbanding di Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland.

Beliau berkata kontinjen Malaysia berjaya meraih enam emas, tujuh perak dan enam gangsa serta menduduki tangga ke-12 keseluruhannya di Sukan Komanwel Glasgow 2014 .

“Saya sangat teruja kerana atlet Malaysia bakal menyertai temasya Sukan Komanwel Gold Coast yang bakal bermula dalam tempoh 166 hari lagi.

“Dengan kontinjen Malaysia yang diketuai oleh Huang Ying How selaku ketua kontinjen saya percaya kita mampu meraih pencapaian lebih baik berbanding di Sukan Komanwel Glasgow 2014 iaitu enam emas, tujuh perak dan enam gangsa serta menduduki tangga ke-12 keseluruhannya.”

Khairy berkata demikian ketika berucap selepas menerima kunjungan delegasi pembawa baton Larian Baton Ratu GC2018 di pejabatnya di sini, sebentar tadi.

Selasa lalu, hampir 500 peserta termasuk pemenang pingat Sukan Komanwel terdahulu, menyertai Larian Baton Ratu GC2018 yang berlangsung dalam suasana meriah di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Larian sejauh 1.3 kilometer mengelilingi stadium itu bermula di Dataran Keris dan membabitkan lima kumpulan antaranya badan induk sukan negara, delegasi Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia dan pemenang pingat terdahulu serta atlet kebangsaan.

Antara individu yang berlari membawa baton berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara Dr Khairi Zawi, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan wakil Persekutuan Sukan Komanwel Tan Sri Dr M Jegathesan.

Dalam perkembangan berkaitan Khairy, berkata kontinjen pegawai dan atlet Malaysia kini sedang membuat persiapan rapi bagi menghadapi cabaran di GC2018, April depan.

Khairy berkata beliau juga berharap Jawatankuasa Penganjuran GC2018 dapat membuatkan persiapan terbaik bagi memastikan temasya Sukan Komanwel berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 12:09pm
d