arena

Hamilton tagih malang Ferrari

Oleh AFP

AUSTIN: Lewis Hamilton yang memburu kemenangan kelima pada kunjungan keenamnya di Texas berharap Ferrari terus dirundung malang bagi mencerahkan peluang meraih gelaran dunia keempat di Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS), hujung minggu ini.

Pemandu Britain itu mempunyai kelebihan 59 mata daripada pencabar utamanya Sebastian Vettel tatkala musim Formula Satu (F1) 2017 hanya berbaki empat perlumbaan.

Pelumba pasukan Mercedes AMG PETRONAS itu bakal dinobatkan selaku juara seandainya mampu menambah kelebihan 16 mata berbanding seteru dari Ferrari itu.

Secara ringkasnya, jika Hamilton memenangi perlumbaan, Vettel harus menamatkan perlumbaan di kelompok lima terbaik bagi menghidupkan peluangnya untuk terus merebut gelaran.

Begitupun, ia bergantung terhadap kemampuan Ferrari untuk mengelak daripada apa yang mereka alami di sepanjang empat perlumbaan sebelum ini.

Sejak perlumbaan di laman sendiri di GP Itali, Ferrari berdepan pelbagai siri masalah kesilapan dan mekanikal dan kemuncaknya berlaku di GP Jepun pada 8 Oktober lalu di mana Vettel dipaksa menarik diri kerana kegagalan palam pencucuh yang bernilai $60 (RM253).

Menambah derita, Vettel terbabit dengan satu kemalangan bersama rakan sepasukannya Kimi Raikkonen di Singapura sebelum mengalami masalah enjin di Malaysia - insiden yang banyak membenarkan Mercedes untuk meraih tiga kemenangan dalam empat perlumbaan.

Hamilton kini mengumpul 306 mata manakala Vettel - seorang lagi pemandu yang pernah menang di Circuit of the Americas - meraih 247 mata.

Perlumbaan dijangka berlangsung penuh dramatik, penuh debaran hujung minggu ini dengan Hamilton kemungkinan bakal ‘melutut’ ketika lagu negara itu berkumandang pada upacara pembukaan sebagai tanda sokongan kepada protes dilakukan pemain Liga Ragbi Kebangsaan (NFL) terhadap isu perkauman dan keganasan polis.

Boss Mercedes, Toto Wolff juga menjelaskan yang dia tidak akan mengekang Hamilton dengan berkata: “Sekiranya kamu cuba menambahkan lagi kongkongan kepadanya - seperti meletakkan dia di dalam kotak - tentunya ia akan menambahkan lagi kemudaratan terhadap prestasinya.”

Hamilton juga sedang memburu kemenangan kesembilannya tahun ini sudah pasti sedar yang Vettel pasti akan cuba menghalang hasratnya itu untuk menyertai senarai juara empat kali yang turut membariskan nama pemandu Jerman itu dan Alain Prost.

Hanya Michael Schumacher yang meraih tujuh gelaran manakala Juan-Manuel Fangio (5) dan seandainya Hamilton meraih gelaran keempat, ia akan menjadikannya sebagai pemandu paling berjaya di Britain.

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 12:55pm
d