arena

Nikmati bola sepak: Valverde

Oleh AFP

BARCELONA: Ernesto Valverde mengambil pendekatan ‘tenang’ dan tidak terganggu dengan kemelut di Catalonia ketika meraikan tempoh 100 hari mengemudi Barcelona yang menang 3-1 ke atas Olympiakos di pentas Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Dalam perlawanan menarik itu, tonggak utama kelab itu Lionel Messi turut meledak gol ke-100 miliknya di pentas Eropah yang mengubati duka selepas diikat Atletico Madrid dalam saingan La Liga, minggu lalu.

Ketika kempen gergasi Sepanyol itu dalam kancah bola sepak tampak berjaya, suasana berbeza berlaku di persekitaran kelab berkenaan termasuk ketegangan politik susulan tuntutan kemerdekaan Catalonia terhadap kerajaan Sepanyol.

Satu sepanduk sepanjang kira-kira 50 meter dihasilkan kelab yang membawa mesej ‘Dialogue, Respect, and Sport’(dialog, hormat dan sukan) dibentangkan sebelum sepak mula sebagai tanda mahukan jalan penyelesaian bagi kemelut politik itu.

“Kami memberi tumpuan terhadap bola sepak jadi peminat-peminat boleh menikmatinya,” kata Valverde.

“Di stadium, orang datang dan menyuarakan pandangan mereka namun apa yang paling asas ialah mereka datang untuk melihat pasukan mereka menang dan itulah sebab utama mengapa kami berada di sini... cuba untuk menang.

“Sebagai pengurus, saya mewakili ramai orang dengan pelbagai pendapat peribadi. Satu-satunya perkara yang menarik minat saya ialah peminat-peminat saya gembira dan bendera yang kami pertahankan adalah Barcelona.”

Tiga kemenangan berturut-turut selepas tiga perlawanan membenarkan Barca berada di puncak Kumpulan D dengan rekod sempurna dengan Juventus ketinggalan tiga mata di belakang susulan kemenangan 2-1 ke atas Sporting Lisbon.

Dan Barca turut menikmati kelebihan empat mata di puncak La Liga sekali gus menambah permulaan gemilang Valverde.

“Dia menceriakan Camp Nou dan semua yang terbabit dengan kelab menyukainya,” kata Presiden Barca, Josep Maria Bartomeu. “Mereka memperoleh 100 hari yang optimis dan kami perlu bercita-cita tinggi.”

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 2:11pm
d