arena

TSC kukuh cengkaman

Oleh Azlan Muhammad Zain

TEAM Sapura Cycling (TSC) mengukuhkan cengkaman di Tour of Selangor 2017 selepas berakhirnya tiga peringkat perlumbaan, sebentar tadi.

Pasukan berstatus benua berkenaan memenangi peringkat ketiga menerusi pelumbanya dari Indonesia, Aiman Cahyadi selepas Muhammad Zawawi Azman memenangi peringkat pertama, Selasa lalu.

Aiman menamatkan perlumbaan dari Shah Alam ke Pandan Indah sejauh 110 kilometer dengan masa dua jam 39 minit 19 saat dengan pelumba skuad kebangsaan, Sofian Nabil Omar Mohd Bakri kedua diikuti Saufi Mat Senan dari Sitra Kelantan Cycling Team, ketiga.

“Fokus hari ini mengekalkan jersi kuning yang dipakai Zawawi. Kami berjaya merapatkan jurang dengan empat pelumba yang melakukan pemecahan sejak awal apabila memasuki dua zon pendakian di Bukit Hantu dan Bukit Ampang.

“Mungkin kelebihan kepada kami kerana setiap hari sejak awal tahun menjalani latihan di sini dan cukup kenal dengan laluan ini. Jadi menghampiri puncak Bukit Ampang, saya melakukan kayuhan secara bersendirian meninggalkan kelompok besar dan tiada yang mengejar sekali gus secara solo melintasi garisan penamat,” jelas pelumba berusia 24 tahun itu.

Ia juga kemenangan peringkat pertama baginya sebagai pelumba profesional sejak memulakan karier pada 2012.

“Rasa amat berbaloi dengan kemenangan ini kerana sudah lebih dua bulan tidak pulang ke Bandung berjumpa keluarga akibat jadual yang padat,” tambahnya.

Rakan sepasukannya, Zawawi masih mengekalkan jersi kuning selaku pendahulu individu keseluruhan serta jersi pecut dan bukit.

TSC turut mendahului kategori pasukan terbaik keseluruhan apabila mengumpul 25.38:51s secara keseluruhan.

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 5:06pm
d