arena

'Usah ambil mudah Kedah'

Oleh Aziman Rosdi

JURULATIH FELDA United, B Sathianathan mengingatkan anak buahnya supaya tidak mengambil mudah aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia, Sabtu ini meskipun Kedah turun tanpa kapten Khairul Helmi Johari dan arkitek pasukan, Liridon Krasniqi.

Dua pemain utama itu terpaksa diketepikan oleh jurulatih Helang Merah, Nidzam Adzha Yusoff akibat penggantungan perlawanan, namun Sathianathan menganggap ia tidak memberi banyak kesan kepada pasukan tuan rumah itu.

“Kami kena tutup kelemahan pada perlawanan pertama tempoh hari, kami tiada pilihan selain menang di Kedah. Walaupun Kedah tanpa Liridon dan Khairul Helmi itu tidak bermakna pemain saya akan mendapat laluan mudah.

“Kedah memiliki ramai pemain simpanan yang bagus dan boleh mengambil tempat dua pemain ini termasuk pemain muda mereka, jadi pemain saya kena berjuang habis-habisan untuk menang,” katanya.

FELDA hanya perlu mencari kemenangan sekurang-kurangnya 1-0 untuk layak ke final buat kali pertama dalam sejarah kelab itu selepas perlawanan separuh akhir pertama di Jengka Ahad lalu berkesudahan seri 1-1.

“Mereka ada kelebihan bermain di tempat sendiri manakala kami pula tidak ada sebarang bekalan gol untuk aksi kedua nanti. Tapi saya tidak mahu pemain tertekan dan saya percaya bukan mustahil kami menang di Alor Setar kerana kami pernah melakukannya sebelum ini,” kata Sathianathan.

Skuad The Fighters memiliki rekod baik ke atas Kedah musim ini dengan kemenangan 3-1 pada September lalu di gelanggang lawan dan seri 1-1 pada Februari di Jengka dalam saingan Liga Super.

Tambah melegakan Sathianathan apabila beliau tidak mempunyai masalah menurunkan kesebelasan utama yang beraksi pada perlawanan pertama Ahad lalu.

“Semua pemain dalam keadaan baik, tiada yang mengalami kecederaan dan penggantungan, jadi kami dalam tahap terbaik ketika ini,” katanya yang pernah membawa Kelantan muncul juara Piala Malaysia 2010.

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 6:26pm
d