arena

Jun Hao hampiri impian

Oleh Helmi Talkah

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao semakin membara dalam misinya untuk merangkul gelaran sulung pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Yogyakarta, Indonesia.

Juara remaja Asia itu semakin hampir bagi merealisasikan matlamat berkenaan apabila mara ke suku akhir selepas menewaskan pemain Perancis, Leo Rossi 21-16, 21-17 pada aksi pusingan kelima, semalam.

Jun Hao dijangka tidak berdepan masalah untuk mara ke separuh akhir apabila membuat perhitungan dengan seorang lagi pemain Perancis, Christo Popov, hari ini.

“Saya akui tidak bermain dengan baik hari ini, tapi saya bernasib baik kerana berjaya mencipta kemenangan. Apapun, kemenangan ini memberikan suntikan semangat untuk saya bagi melakukan yang lebih baik.

“Sasaran awal saya mara ke separuh akhir, jadi saya mahu capai itu dulu. Selepas itu, baru boleh fokus untuk aksi final,” kata Jun Hao ketika dihubungi di Yogyakarta.

Sementara itu, bintang perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei turut menepati ramalan apabila mara ke suku akhir selepas menyingkirkan pemain Indonesia, Choirunissa Choirunissa 21-15, 21-19.

Juara dunia 2015 itu akan bertemu Chananchida Jucharoen dari Thailand bagi merebut tempat ke separuh akhir, hari ini.

Turut mara ke kelompok lapan terbaik ialah beregu campuran negara, Ng Eng Cheong-Toh Ee Wei yang menewaskan Ruttanapak Oupthong-Chasinee Korepap 21-17, 21-18.

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 6:50pm
d