arena

Cabaran Vettel belum tamat

Oleh Reuters

AUSTIN, Texas: Pelumba Ferrari, Sebastian Vettel masih belum mengaku kalah dalam perebutan kejuaraan dunia Formula Satu (F1) malah dia disokong seteru utama Lewis Hamilton.

Berbaki empat perlumbaan musim ini, Hamilton kini mendahului pelumba Jerman itu dengan 59 mata dan berpeluang menyambar gelaran dunia keempatnya di Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS) sekiranya menamatkan perlumbaan di kedudukan dua teratas.

“Dalam Inggeris, mereka berkata ia belum lagi tamat sehingga ‘gadis gempal’ menyanyi,” kata Vettel kepada pemberita di hentian pit GP AS.

“Kami perlu memastikan dia (gadis) terbabit terus senyap sementara waktu ini.”

Vettel menerajui perlumbaan sejak aksi pembukaan di Australia, Mac lalu tetapi tiga perlumbaan terakhir di Asia dan beberapa kemenangan Hamilton hampir menafikan kejuaraan kelimanya.

Pelumba Ferrari itu tersingkir awal di Singapura sebelum masalah enjin di Malaysia memaksanya memulakan perlumbaan di petak paling belakang, namun berjaya bangkit meraih kedudukan keempat.

Dan nasib malangnya itu berterusan di Jepun apabila terpaksa menarik diri susulan masalah palam pencucuh yang patah.

“Kami masih dalam persaingan, peluang kami agak tipis berbanding beberapa perlumbaan sebelum ini. Tetapi peluang masih ada dan kami akan pergi untuknya.

“Kami perlu kekal fokus. Kami mempunyai jentera yang hebat, kami juga berpeluang memenangi beberapa perlumbaan tetapi sebaliknya yang berlaku.”

Pelumba Mercedes AMG PETRONAS Hamilton, yang menang empat daripada lima perlumbaan terakhir di Austin, berkata cakap-cakap bahawa dia akan mengesahkan kejuaraan di sini sebagai kurang bijak.

“Saya fikir pendapat mereka yang saya akan menang kejuaraan pada hujung minggu ini sebagai kurang bijak... anda tidak boleh menjangka mereka akan melalui satu lagi minggu yang buruk,” katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 9:34am
d