arena

Thomas dahului tiga pukulan selepas permulaan hambar

Oleh AFP

Jeju, Korea Selatan: Pemain nombor empat dunia Justin Thomas bangkit daripada permulaan hambar untuk mencatat sembilan bawah par 63 dan mendahului tiga pukulan selepas pusingan pertama Piala CJ semalam.

Thomas, juara Kejuaraan PGA Amerika Syarikat kini mendahului tiga pukulan berbanding lima pemain yang membuat enam bawah par 66 iaitu Gavin Green dari Malaysia, trio AS Chez Reavie, Scott Brown dan Patrick Reed dan pemain Australia Marc Leishman.

Thomas hampir mencatat kejuaraan hatrik kejohanan CIMB Classic di Malaysia minggu lalu, menamatkan saingan di tempat ke-17 dan bangkit daripada perasaan gugup di lapangan Nine Bridges dalam kejohanan Jelajah PGA AS yang pertama dipertandingkan di Korea Selatan.

Dia bermula teruk dengan mensia-siakan pukulan di lubang ke-10 namun bangkit dengan eagle di lubang ke-12.

Ia menjadi permulaan kejayaannya mengumpul lapan bawah par untuk tujuh lubang termasuk empat birdie dan satu lagi eagle di lubang ke-18 untuk mengumpul tujuh bawah par 29.

“Ia hari yang pelik,” kata Thomas, 23, yang mempamerkan aksi menakjubkan sejak menjuarai kejohanan utama pertamanya pada Ogos dan baru-baru ini dipilih Pemain Tahunan Jelajah PGA 2017.

“Ia bermula dengan teruk apabila saya mencatat bogey dan kemudian saya terus bangkit pada tujuh lubang berikutnya dan saya tidak sedar ia banyak membantu dalam pusingan ini.”

Thomas membuat pukulan dari bunker di lubang ke-15 untuk birdie kedua daripada empat berturut-turut sebelum birdie di lubang berikutnya.

“Begitulah perjalanan hari saya. Saya membuat pukulan wedge yang teruk dan berjaya mengatasinya dengan menebus dua bogey,” kata Thomas.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 9:38am
d