arena

Lazio nafi kelebihan gol Balotelli

Oleh AFP

NICE: Kelab Serie A Itali, Lazio bangkit daripada ketinggalan sebelum melakar kemenangan 3-1 ke atas Nice di laman lawan dalam aksi Liga Europa, awal pagi tadi.

Penyerang kontroversi, Mario Balotelli meledak gol pembukaan Nice seawal minit keempat selepas mengumumkan kelahiran anaknya Lion, awal minggu ini.

Begitupun jaringan kelab dari Perancis itu pantas dipadam Felipe Caicedo yang mengikat kedudukan seminit berselang.

Pemain tengah Lazio, Sergej Milinkovic-Savic meledak dua gol pada babak kedua untuk membantu pasukan itu menghuni persada Kumpulan K dan meneruskan rekod tanpa kalah di laman lawan bagi aksi Liga Europa kepada 11 perlawanan.

Namun, nasib berbeza menimpa satu lagi pasukan Serie A, AC Milan apabila juara Eropah tujuh kali itu sekadar diikat tanpa jaringan bertemu AEK Athens di laman sendiri bagi aksi Kumpulan D.

Dalam satu lagi aksi Liga Europa, Real Sociedad melupakan kekalahan 3-1 di tangan Zenit St Petersburg apabila menjadikan Vardar sebagai mangsa yang menyaksikan mereka meraih kemenangan 6-0 ke atas pasukan dari Macedonia itu.

Pada aksi itu, Willian Jose meledak empat gol dalam tempoh 25 minit.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 9:41am
d