arena

Kayuhan santai

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Alor Setar: Seramai 820 peserta tampil menyertai kayuhan basikal untuk kesihatan sejauh 75 kilometer (km) yang diadakan secara santai dalam usaha menggalakkan gaya hidup sihat.

Program kali kesembilan anjuran Kelab Alor Setar LM Bikers dengan kerjasama Indah Utara Auto dan Isuzu Malaysia itu berlangsung dalam suasana meriah yang diadakan secara santai tanpa kategori pertandingan.

Timbalan Presiden Kelab Alor Setar LM Bikers, Fong Chan Hap berkata, program itu diadakan setiap tahun di mana ia bukan saja mengumpulkan peminat kayuhan basikal malah dapat mengamalkan gaya hidup sihat.

Menurutnya, walaupun pendaftaran peserta tahun ini berlangsung dalam tempoh singkat namun pihaknya berjaya mengumpulkan seramai 820 orang berusia 13 hingga 77 tahun.

“Setiap tahun, laluannya tidak sama dan berubah di mana kali ini jaraknya adalah 75 km bermula dari pusat jualan Indah Utara Auto, Mergong ke Kepala Batas, Pokok Sena, Pendang dan berakhir di pusat jualan ini.

“Peserta terdiri dari pelbagai bangsa dan datang dari serata negeri seperti Kedah, Pulau Pinang, Perak, Melaka dan Johor,” katanya ketika ditemui selepas tamat program kayuhan itu, di pusat jualan Indah Utara Auto, Mergong, di sini, kelmarin.

Beliau berkata, kayuhan itu diadakan sempena Hari Malaysia dan lazimnya diadakan pada 16 September namun tahun ini ia terpaksa ditunda susulan kemangkatan Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mua'adzam Shah.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Indah Utara Auto dan Isuzu Malaysia di mana ini kali pertama kelab kami bekerjasama menganjurkan program kayuhan ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada penganjur kerana berjaya merealisasikan program berkenaan.

“Saya lihat ramai orang menyertai program dan mereka juga gembira apabila berjaya menamatkan kayuhan.

“Program ini juga sinonim dengan jenama Isuzu kerana mengeluarkan kenderaan D-Max yang sesuai kepada mereka yang gemar dengan aktiviti luar dan lasak,” katanya.

Masayuki berkata, sebab itulah pihaknya menyokong program kayuhan basikal dan akan terus memberi sokongan pada masa akan datang.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 9:45am
d