arena

Final<strong> dalam genggaman</strong>

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Rentak cemerlang pemain lelaki negara memastikan sekurang-kurangnya satu slot perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia, sah menjadi milik pemain Malaysia.

Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Arena Nicol David Bukit Jalil semalam menyaksikan Ng Eain Yow dan Ivan Yuen berjaya menewaskan lawan masing-masing untuk menempah pertemuan sesama sendiri pada separuh akhir hari ini.

Eain Yow yang juga juara remaja dunia 2016 paling menyerlah apabila melakar kejutan menewaskan pilihan keenam yang juga pemain ke-57 dunia dari Mesir, Mazen Gamal 13-11, 3-11, 11-6, 11-1.

Kejayaan Eain Yow yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dan berada di tangga ke-77 dunia itu membuktikan ranking bukan penentu kepada kemenangan.

Sementara itu, juara kebangsaan Ivan Yuen mudah menewaskan pemain muda negara, Sanjay Singh 12-10, 11-5, 11-3.

“Saya sudah biasa bermain dengan Sanjay. Saya tahu caranya bermain dan dia juga seorang pemain yang hebat dan mempunyai kelebihan tersendiri.

“Dia masih muda dan berbakat, namun perlu belajar lagi. Apapun, saya gembira dapat mengawal pergerakannya untuk menang perlawanan ini,” katanya.

Berdasarkan ranking, Ivan menjadi pertaruhan terbaik negara untuk merangkul kejuaraan selepas ketiadaan Mohd Nafiizwan Adnan yang terpaksa menarik diri akibat kemalangan dan tumbangnya pilihan pertama, Alan Clyne pada pusingan pertama.

Mengulas mengenai Eain Yow yang akan ditentang di separuh akhir nanti, Ivan berkata, dia tidak mahu terlalu memikirkan banyak perkara dan hanya memberi yang terbaik dan menikmati perlawanan dengan corak permainannya sendiri.

Jika berjaya muncul juara, ia gelaran pertama Ivan dalam siri jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) dalam tempoh dua tahun. Untuk rekod, Ivan sudah berjaya meraih enam gelaran PSA setakat ini.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 9:50am
d